• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

TIGA MAUT, ENAM CEDERA KEMALANGAN DI MUKAH, SARIKEI

Tiga orang maut dan enam orang lagi cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di daerah Mukah dan Sarikei semalam


Back To Whats Hot

SIBU - Tiga orang maut dan enam orang lagi cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di daerah Mukah dan Sarikei semalam.

Dalam kemalangan di Mukah, seorang pemandu lori dan seorang penumpang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang cedera dalam kemalangan kendiri di Kilometer 7 Jalan Mukah-Balingian kira-kira 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, pemandu yang maut dikenali sebagai Edin Mil, 22, dari Kapit manakala penumpang yang maut ialah Jacky Jasam, 23, dari Betong.

Penumpang yang cedera ringan ialah Augustine Donul Gasan, 19, yang berasal dari Miri.

"Semasa kejadian, lori dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pencawang elektrik di bahu jalan mengakibatkan lori remuk. Akibat kemalangan itu pemandu dan penumpang yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera ringan," katanya dan menambah mereka kemudian dibawa ke Hospital Mukah.

Dalam kejadian di Sarikei pula, seorang peniaga wanita maut manakala suaminya patah kaki apabila kereta mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 4.10 petang dengan sebuah van dinaiki empat anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusia 26 hingga 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Mat Jusoh Muhammad berkata, peniaga wanita yang maut itu dikenali sebagai Normadiah Awie manakala suaminya ialah Samarin Mat, kedua-duanya berusia 57 tahun.

Menurutnya, kejadian berlaku berdekatan SMK Sungai Paoh di Jalan Sarikei-Betong, 16.8 kilometer dari bandar Sarikei.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga yang dipandu suami peniaga wanita tersebut dalam perjalanan dari arah Sibu ke Kabong manakala van berkenaan pula dari arah Kuching ke Bintulu.

Mat Jusoh berkata, pemandu van gagal mengawal kenderaan kerana permukaan jalan yang licin akibat hujan, lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki pasangan berkenaan.

Anggota SPRM terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

- Bernama