WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

KENAL PASTI SUMBER KEPAK AYAM SEBELUM DIBELI

Orang ramai dinasihati agar mengambil berat dan mengenal pasti terlebih dahulu sumber pembekal kepak ayam mentah sebelum membelinya


Back To Whats Hot

SIBU - Orang ramai dinasihati agar mengambil berat dan mengenal pasti terlebih dahulu sumber pembekal kepak ayam mentah sebelum membelinya untuk keperluan makanan harian ataupun perniagaan makanan.

Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Muhammad Rasi Abdullah, ini penting untuk menjamin kepak ayam yang dibeli bersih dan selamat dimakan anggota keluarga mahupun pelanggan.

"Jadilah pembeli yang bijak dan jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga kepak ayam mentah yang lebih murah daripada harga pasaran," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pengguna harus memastikan daging ayam adalah pejal dan anjal, tidak berlendir, tidak lebam atau berwarna kehijauan, tidak berbau busuk (mereput) dan kulit yang kelihatan cerah dan segar.

Kenyataan itu hadir di sebalik kebimbangan masyarakat di bandar ini mengenai kegiatan menjual kepak ayam yang telah dilupuskan sebuah agensi penguatkuasa di sini Jumaat lepas.

Beberapa kontena kepak ayam yang didakwa dirampas di Lembaga Pelabuhan Rajang di sini dilupuskan dengan cara ditimbus di dalam lubang di sebidang tanah milik sebuah syarikat swasta di Bukit Aup, Jumaat lepas.

Berita pelupusan itu tersebar menyebabkan puluhan penduduk di sekitar kawasan tersebut bertindak menggali kepak-kepak ayam yang didapati masih beku semalam.

Mereka dikatakan tidak menghiraukan kemungkinan memakan kepak-kepak ayam tersebut boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada kesihatan mereka.

Pihak berkuasa telah membuat kepungan di kawasan itu dan anggota polis berkawal di tempat berkenaan bagi menghalang orang ramai daripada terus menggali kepak ayam tersebut.

- Bernama