WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

TEMPOH NORANIZA IDRIS PERJUANGKAN IRAMA MALAYSIA SUDAH SUNTUK

Penyanyi Noraniza Idris tidak mempunyai banyak masa untuk meneruskan misinya memperjuangkan lagu-lagu etnik


Back To Whats Hot

Penyanyi Noraniza Idris tidak mempunyai banyak masa untuk meneruskan misinya memperjuangkan lagu-lagu etnik dan irama Malaysia seandainya masih ada pihak tidak membuka mata terhadap perjuangannya itu.

Noraniza berkata, seandainya dia dan suami berpeluang menunaikan umrah pada tahun ini, dia membuat keputusan untuk tidak lagi berada di pentas persembahan sebaliknya akan terlibat sebagai orang belakang tabir.

"Saya dah berusia 49 tahun dan berada dalam industri hiburan lebih tiga dekad.

"Kalau perjuangan saya dalam mengangkat lagu-lagu irama Malaysia belum terlaksana, saya tidak mempunyai masa lagi kerana saya tidak selamanya di depan.

"Justeru saya harap pihak-pihak tertentu seperti Persatuan Seniman Malaysia, Yayasan Artis 1 Malaysia dan semua yang terlibat secara langsung di dalam industri agar terus memainkan peranan meletakkan seni dan akar budaya Melayu pada satu tahap membanggakan," katanya.

 

Noraniza Idris (kiri) danTyka (kanan) bersama rakan-rakan artis ketika pelancaran single mereka berjudl "Wangikanlah Hatimu".

Noraniza ditemui pada pelancaran single duet terbarunya bersama bekas peserta program realiti 3 Juara, Tyka berjudul Wangikanlah Hatimu bertempat di L'Classico Publika baru-baru ini.

Antara yang hadir pada majlis itu Datuk M.Nasir, Datuk D.J Dave, Datuk Jamaludin Alias (Nash), Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan Zed Zaidi.

Kata Noraniza, pemilihan Tyka untuk projek single Wangikanlah Hatimu  adalah rentetan daripada program 3 Juara yang lalu di mana dia melihat potensi anak kelahiran Johor ini dalam mewarnai lagu irama Malaysia dengan baik.

Dalam pada itu, jelas penyanyi lagu Dikir Puteri ini lagi, dia berharap akan ada lebih ramai artis muda untuk terus memperkasakan lagu-lagu irama Malaysia agar ia tidak lapuk ditelan zaman.

Tambah, artis-artis lain boleh mencontohi beberapa penyanyi muda antaranya Altimet yang bijak mengadun muzik moden dengan karya tradisional di mana lagu diketengahkan tidak sahaja menghiburkan malah sarat dengan unsur-unsur nasihat dan motivasi.