WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: GENCATAN SENJATA DILANJUTKAN

Penduduk Palestin berjalan di celah-celah runtuhan bangunan dekat pasar Al-Zawiya di Bandar Gaza kelmarin - Sumber Foto AFP


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Gencatan senjata Israel-Hamas akan dilanjutkan selama dua hari, kata pengantara Qatar, beberapa jam sebelum jeda kemanusiaan dijadualkan berakhir semalam.

“Palestin dan Israel bersetuju untuk melanjutkan jeda kemanusiaan di Gaza selama dua hari lagi di bawah syarat yang sama,” kata kementerian luar Qatar dalam satu kenyataan di laman X.

Kumpulan Hamas mengesahkan perkembangan tersebut, namun tiada sebarang kenyataan rasmi mengenainya oleh Israel.

Lanjutan gencatan senjata itu dicapai selepas 11 lagi tebusan Hamas dibebaskan dari Gaza, bersama pembebasan 33 tahanan Palestin yang merupakan pertukaran terakhir di bawah perjanjian sedia ada.

Pelanjutan gencatan senjata itu dialu-alukan di peringkat antarabangsa dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyebutnya sebagai ‘harapan kemanusiaan di tengah-tengah kegelapan perang’.

Gencatan senjata pada Jumaat lalu itu menghentikan perang yang bermula selepas Hamas menyerbu sempadan Israel pada 7 Oktober lalu. Operasi dinamakan Taufan Al-Aqsa itu menyaksikan 1,200 orang terbunuh dengan kebanyakan mereka orang awam. Hamas juga menculik beratus-ratus tebusan.

Serangan balas Israel pula membunuh hampir 15,000 orang di Gaza, kebanyakan mereka ialah penduduk awam.

Lewat kelmarin seramai 11 tebusan tiba di Israel, kata seorang jurucakap tentera Zionis.

“Pasukan kami akan mene­mani mereka sehingga mereka disatukan semula dengan keluarga masing-masing,” katanya.

Tidak lama kemudian, pihak berkuasa penjara Israel berkata bahawa seramai 33 tahanan Pa­lestin telah dibebaskan.

Di Baitulmuqaddis Timur, tahanan bernama Muhammad Abu Al-Humus menyifatkan pembebasannya sebagai ‘kegembiraan yang tidak dapat digambarkan’.

Dia mencium tangan ibunya ketika memasuki rumah mereka, manakala orang ramai di bandar Beitunia, Tebing Barat mengibarkan bendera Hamas ketika me­nyambut ketibaan mereka yang menaiki sebuah bas.

Namun, di lokasi berdekatan, pertempuran dengan tentera Israel tercetus yang menyaksikan penduduk Palestin membakar tayar dan membaling batu. Seorang terbunuh dalam rusuhan itu.

Secara keseluruhan, seramai 50 tebusan Israel telah dibebaskan di bawah perjanjian genca­tan senjata itu sebagai pertukaran untuk 150 tahanan Palestin. Seramai 19 tebusan lagi dibebaskan di bawah perjanjian berasingan, termasuk pekerja Thai dan dua warganegara Russia-Israel.

Hamas berkata, pihaknya sedang merangka senarai tebusan tambahan untuk dibebaskan, walaupun proses itu rumit ke­rana sesetengah mereka ditawan oleh kumpulan pejuang lain.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby berkata, untuk me­lanjutkan jeda kemanusiaan itu, Hamas komited membebaskan 20 lagi wanita dan kanak-kanak.

Israel melihat gencatan senjata itu bersifat sementara untuk mendapatkan pembebasan tebusan dan akan meneruskan perang selepas itu.

Namun, Rejim Zionis berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk mengadakan gencatan senjata kekal dan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana dianggarkan seramai 1.7 juta orang hilang tempat tinggal, demikian menurut PBB.

Minggu ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken akan mengadakan lawatan perang ketiga­nya ke Asia Barat untuk me­nemui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Pre­siden Palestin, Mahmoud Abbas.

“Blinken akan menekankan keperluan untuk mengekalkan peningkatan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menjamin pembebasan semua tebusan,” kata seorang pegawai kanan AS.

Dalam pada itu, di Gaza, tiada bahan api tiba untuk hospital di utara wilayah itu, walaupun gencatan senjata dilaksanakan.

Pegawai PBB, Tor Wennesland memberi amaran situasi kemanusiaan di Gaza masih dika­tegorikan sebagai ‘ bencana’.

Gaza memerlukan segera bantuan dan bekalan tambahan dengan cara yang lancar, boleh diramal dan berterusan untuk mengurangkan penderitaan yang tidak tertanggung oleh rakyat Palestin di Gaza,” kata penyelaras khas PBB untuk proses damai Asia Barat.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini