WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: HAMAS LAYAN ANAK SAYA BAGAIKAN IBU AYAH

Danyal bersama anaknya, Emilia yang menjadi tebusan pejuang Hamas - Sumber Foto Kosmo Online!


Back To Whats Hot

PETALING JAYA – “Kalian seperti ibu bapa untuknya,” itu pengakuan seorang wanita Israel dikenali sebagai Danyal terhadap layanan diberikan kumpulan pejuang Hamas kepada anak perempuannya, Emilia sepanjang mereka menjadi tebusan.

Pengakuan itu ditulis Danyal menerusi surat yang kemudiannya tular dipercayai dikongsikan oleh kumpulan pejuang Hamas, selain turut dimuat naik pada Instagram Cinta Gaza Malaysia dengan terjemahan bahasa Melayu.

Dalam surat tersebut, wanita itu mengucapkan penghargaan kepada pejuang-pejuang Hamas terhadap sifat kemanusiaan yang ditonjolkan kepada Emilia, malah kanak-kanak tersebut menganggap mereka seperti kawannya.

“Kepada jeneral yang telah menemani saya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, nampaknya esok kita akan berpisah.

“Namun di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dari lubuk hati saya atas sifat kemanusiaan luar biasa yang kalian tunjukkan terhadap anak perempuan saya, Emilia.

“Kalian seperti ibu bapa untuknya, membenarkan dia masuk ke bilik kalian pada bila-bila masa dia mahu. Emilia mengakui bahawa dia merasakan kalian semua adalah kawannya. Bukan hanya sekadar kawan, malah orang yang benar-benar dikasihi dan dilayani dengan sangat baik,” katanya menerusi surat itu.

Danyal turut mengucapkan terima kasih kepada pejuang tersebut atas kesudian mereka menghabiskan banyak masa sebagai penjaga Emilia.

“Terima kasih kerana bersabar dengannya dan memberinya banyak manisan, buah-buahan dan segala-galanya yang ada walaupun kalian tidak memilikinya.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya dikurung, tetapi terima kasih kepada kalian dan orang baik yang kami temui sepanjang tempoh ini. Anak perempuan saya berasa dirinya seperti seorang puteri di Gaza. Secara umum, dia berkata perasaan itu bagaikan dialah segala-galanya,” katanya.

Wanita itu berkata, sepanjang tempoh tersebut, anak perempuannya tidak pernah bertemu sesiapa yang dari pangkat rendah hingga ke pimpinan tertinggi yang tidak melayannya dengan lemah lembut, penuh kasih sayang dan cinta.

“Saya selamanya akan terhutang budi dan bersyukur kerana dia tidak terperangkap di kawasan dengan trauma psikologi seumur hidup.

“Saya akan kenang budi baik kalian di sini walaupun situasi sangat sukar dan kalian alami kerugian di sini, di Gaza. Saya berharap kita dapat menjadi kawan baik di dunia ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Danyal turut mendoakan pejuang Hamas sentiasa sihat dan dalam keadaan sejahtera.

“Semoga dikurniakan kesihatan dan kasih sayang kepada kalian dan anak-anak keluarga kalian. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini