WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: PENDUDUK GAZA PULANG KE RUMAH, CARI AHLI KELUARGA

Penduduk mencari barang yang boleh digunakan di runtuhan kediaman mereka di Bandar Gaza semalam - AFP


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Sejumlah penduduk menunggu dalam barisan panjang untuk mendapatkan bahan api dan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza pada hari ketiga gencatan senjata berlangsung antara Israel dan Hamas semalam, lapor Badan Penyiaran British (BBC).

Penduduk Gaza cuba memanfaatkan sepenuhnya gencatan senjata kemanusiaan selama empat hari selepas ia bermula Jumaat lalu dengan mengumpulkan bekalan yang sangat diperlukan, mencari orang tersayang dan bersiar-siar di tepi laut.

Ada juga yang pulang ke rumah mereka untuk melihat kerosakan akibat serangan tentera Rejim Zionis yang bermula pada 7 Oktober lalu.

Meskipun terselit sedikit kegembiraan berikutan pertempuran terhenti buat sementara waktu, ia turut diiringi dengan kesedihan ketika penduduk kembali ke rumah mereka yang musnah.

Mereka bagaimanapun tetap mengambil apa yang tinggal termasuk mengeluarkan jasad orang tersayang dari bawah runtuhan.

Seorang penduduk, Tahani al-Najjar menggunakan tempoh masa bertenang itu untuk kembali ke rumahnya di Khan Yunis.

Lelaki berusia 58 tahun itu mengeluarkan beberapa cawan yang masih utuh dari runtuhan rumahnya, yang menurutnya telah musnah akibat serangan udara tentera Israel dengan tujuh ahli keluarga terkorban.

Dalam pada itu, laman berita TRT World melaporkan, orang ramai bergegas ke kawasan perkuburan di kawasan kejiranan Tel al Sultan, barat Rafah untuk menziarahi kubur ahli keluarga yang terbunuh dalam serangan askar Israel.

Munir Labda, yang kehilangan anak lelakinya akibat pengeboman memberitahu agensi berita Anadolu bahawa ia merupakan kali pertama dia menziarahi kubur anaknya sejak dia terkorban.

Bagi Ali Isa yang kehilangan isterinya pula, dia tidak dapat menahan air mata sejurus menziarahi kubur isterinya sebaik mendengar mengenai gencatan senjata.

Sementara itu, juga di selatan Gaza, sejumlah orang yang tinggal di khemah-khemah sementara di luar Hospital Nasser masih menunggu sama ada untuk kembali ke utara semenanjung tersebut.

Jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Juliette Touma memberitahu BBC bahawa keadaan di Gaza sangat mengerikan justeru, pihaknya bersedia menerima lebih banyak bantuan kemanusiaan walaupun ia telah tiba di wilayah Palestin tersebut.

Touma berkata, barangan kebersihan asas dan lebih banyak peralatan perubatan, bahan api serta makanan diperlukan di Gaza.

Gencatan senjata sementara turut menyaksikan lebih banyak bekalan kemanusiaan dibenarkan masuk ke wilayah Palestin itu.

Pada hari pertama gencatan senjata dikuatkuasakan, kira-kira 150 trak membawa bekalan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dari Mesir.

Tentera Israel mengesahkan bahawa empat lori tangki yang mengandungi bahan api dan empat lagi membawa gas memasak memasuki Gaza pada pagi kelmarin.

Namun, ia adalah proses yang perlahan untuk melepasi sempadan dengan setiap kenderaan diperiksa oleh tentera Rejim Zionis sebelum dibenarkan masuk ke Gaza.

Dalam pada itu, Bulan Sabit Merah Palestin berkata, sebanyak 61 trak bantuan yang membawa bekalan makanan, air minuman dan ubat-ubatan telah bertolak dari Rafah menuju ke utara Gaza. Ia menjadi konvoi bantuan terbesar untuk sampai ke utara wilayah Palestin tersebut sejak permulaan pertempuran antara Israel dengan Hamas.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini