WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

LHDN DEDAH 6 TAKTIK PENIPUAN PERDAYA MANGSA

Sindiket penipuan dikesan berjaya memperdayakan orang awam dengan menyamar konon dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)


Back To Whats Hot

PUTRAJAYA: Sindiket penipuan dikesan berjaya memperdayakan orang awam dengan menyamar konon dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga menyebabkan ada terkeliru dan menjadi mangsa.

Menurut kenyataan agensi itu, setakat ini terdapat enam modus operandi yang popular digunakan sindiket ‘scammer’ tersebut antaranya mendakwa mangsa memiliki kes tunggakan cukai kes lama.

“Mangsa menerima mesej menerusi panggilan telefon, surat atau e-mel dengan dikehendaki segera menjelaskan cukai itu kepada akaun bank pihak ketiga yang dijadikan keldai akaun. Mereka dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai agensi itu dan kemudian ada mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi palsu kononnya dari Bank Negara Malaysia (BNM).

“Taktik licik itu membolehkan ‘scammer’ memecah masuk akaun bank milik mangsa secara dalam talian setelah diketahui maklumat peribadi penting terutama nama pengguna dan kata laluan perbankan. Modus operandi kedua pula dengan mendakwa mangsa konon pelarian cukai, kegiatan jenayah atau pengubahan wang haram serta mengugut dan mengancam akan dituduh di bawah akta tertentu.

“Mangsa ketakutan kemudian disambungkan untuk bercakap dengan geng ‘scammer’ lain yang menyamar pegawai polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes itu. Kaedah ini berjaya mencetuskan panik kepada mangsa yang memindahkan wang ke dalam keldai akaun bagi mengelak dikenakan tindakan dan dijanjikan wang itu dipulangkan setelah kes selesai,” jelasnya.

Taktik ketiga pula dengan lawatan pegawai LHDN konon mahu memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan percukaian dengan meminta mangsa memberikan dokumen kerana tersalah lapor.

“Mangsa yang ketakutan akan diarahkan untuk segera membuat pembayaran baki cukai tambahan yang ditaksirkan ‘scammer’ tersebut ke dalam akaun bukan milik LHDN. Bagaimanapun, taktik terkini pula dengan mangsa menerima surat atau e-mel LHDN memaklumkan konon mereka terlibat perdagangan saham syarikat pelaburan dan perlu membayar tunggakan.

“Tidak ketinggalan LHDN mengesan modus operandi keenam yang menyatakan mangsa ada cukai terlebih bayar dan diminta klik pautan palsu disediakan untuk membolehkan lebihan itu dikembalikan. Berdasarkan pemantauan LHDN, ‘scammer’ juga menggunakan teknik ‘spoofing’ iaitu penyamaran talian telefon rasmi agensi itu bagi memperdayakan mangsa memberikan maklumat sulit perbankan.

“Mereka hanya menyedari ditipu apabila mendapati wang dalam akaun bank telah dipindah kepada keldai akaun manakala suspek pula tidak dapat dihubungi semula melalui nombor telefon palsu itu. LHDN menasihatkan masyarakat supaya tidak takut jika berasa tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan percukaian dan peka dengan taktik penipuan sedemikian bagi mengelak menjadi mangsa,” katanya.

Ini jelasnya, termasuk tidak klik pautan atau aplikasi tertentu yang meragukan selain tidak memindahkan wang kepada keldai akaun serta jangan mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali. Agensi itu juga tidak pernah bekerjasama dengan pihak polis atau penguatkuasaan lain bagi tujuan pengesahan tunggakan cukai kerana ia dilakukan teratur menerusi surat atau e-mel rasmi LHDN.

Sumber: Utusan Malaysia

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini