WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

R KELLY MERINGKUK 30 TAHUN DALAM PENJARA

Kelly dan dua individu lain didakwa menipu dalam perbicaraan kes pornografi membabitkan penyanyi itu pada 2008 dan menyembunyikan penderaan seksual


Back To Whats Hot

NEW YORK: Penyanyi R&B terkenal, R Kelly dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan merekrut serta memerangkap remaja dan wanita untuk seks selama beberapa dekad. 

Hakim Ann Donnelly di Mahkamah Tinggi Brooklyn berkata, segala bukti yang didedahkan menunjukkan ‘ketidakpedulian Kelly terhadap penderitaan manusia’ dan ‘kekejaman semata-mata’ terhadap mangsanya. 

“Kes ini bukan mengenai seks. Ia mengenai keganasan dan kekejaman. Anda meninggalkan jejak kehidupan yang rosak,” katanya.  

Kelly dan dua individu lain didakwa menipu dalam perbicaraan kes pornografi membabitkan penyanyi itu pada 2008 dan menyembunyikan penderaan seksual terhadap individu bawah umur, selama bertahun-tahun. 

Pada September 2021, penyanyi lagu hit, I Believe I Can Fly didapati bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan yang dihadapinya termasuk kesalahan paling serius melakukan pemerasan. 

Peguam Amerika Syarikat bagi daerah timur New York, Breon Peace memuji hukuman itu sebagai keputusan terbaik bagi 11 mangsa yang memberi keterangan mengenai ‘penderaan ngeri yang mereka alami’.

Peguam tertuduh sebelum ini merayu hukuman ringan dan dikenakan maksimum 17 tahun penjara. 

Peguam Jennifer Bonjean memberitahu hakim, anak guamnya menerima didikan salah termasuk didera secara seksual ketika kecil.

Hukuman itu dijatuhkan selepas sembilan bulan Robert Sylvester Kelly, 55, disabitkan dengan jenayah seks. 

Kelly bagaimanapun memilih untuk berdiam diri semasa perbicaraan Rabu lalu dan berulang kali menafikan tuduhan penderaan seksual.  

Seorang mangsa, Lizzette Martinez ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi berasa bersyukur dengan keputusan tersebut kerana tertuduh tidak dapat membahayakan orang lain lagi.

Sumber: Utusan Malaysia

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini