WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

11 LAGI JANGKITAN OMICRON DIKESAN

Kesemua kes ini dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat


Back To Whats Hot

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 11 lagi kes Covid-19 yang dijangkiti varian membimbangkan (VOC), Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua varian yang dikesan itu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Masing-masing tiga kes dari United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), masing-masing dua kes dari Nigeria dan Arab Saudi serta satu dari Australia.

"Kes yang dikesan itu membabitkan sembilan warganegara Malaysia dan dua dari Nigeria.

"Lapan daripada mereka mempunyai gejala iaitu dalam kategori dua, manakala tiga lagi kes tidak menunjukkan sebarang gejala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes yang dikesan mempunyai varian berkenaan adalah daripada jumlah keseluruhan 18 kes yang disyaki dijangkiti Omicron seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dengan pertambahan kes itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga kini negara sudah merekodkan sejumlah 13 kes yang dijangkiti Omicron.

Beliau berkata, dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 termasuk varian Omicron di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) dan dalam komuniti.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kes yang dikesan Omicron itu, Dr Noor Hisham berkata, kini lima kes sudah menjalani kuarantin di rumah, manakala enam lagi kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.

"Kesemua kes ini dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat.

Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandang ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan.

"Ini disebabkan tahap 'viral load' yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima. Semua tujuh sampel ini didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu sampel mempunyai CT value 28.47," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini