WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

ISTERI KID MENINGGAL DUNIA

Kid bersama arwah Noraznin dan dua cahaya mata, Deanda dan Aaqil Naquidean - Foto IG Kid


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pemain gitar kumpulan rock 'otai' Search, Kid, 54, iaitu Noraznin Yusof, 55, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser darah myeloma tahap empat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), di sini, jam 5 pagi, hari ini.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan adik Kid, Deena Mohammed Taib menerusi akaun Facebook.

"Assalamualaikum, makluman buat semua. Kakak ipar, Noraznin Yusof menghembuskan nafasnya terakhir, pagi ini.

"Mohon doakan agar rohnya dicucuri rahmat. Terima kasih atas doa dan kasih sayang buat kakak ipar saya.

"Semoga roh kakak ipar saya tenang dan berbahagia di alam baru," tulisnya.

Terdahulu, Allahyarham Noraznin pernah koma 10 hari dan bergelut dengan penyakit myeloma tahap empat pada Julai lalu.

Beliau mendapatkan rawatan sejak Disember tahun lalu.

Julai lalu, Kid atau nama sebenarnya, Hamzah Mohammed Taib pernah berkongsi isteri tercinta sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam kali.

"Bagaimanapun, belum habis kitaran kelima, hospital terpaksa menghentikan rawatan itu kerana fizikal arwah yang lemah.

"Ini ditambah jangkitan paru-paru dan degupan jantung yang turut lemah. Rawatan dijangka disambung selepas fizikal isteri stabil," katanya kepada BH Online.

Selain berdepan ujian penyakit barah dan prosedur kemoterapi, Kid pernah memaklumkan arwah isteri perlu menjalani pemindahan sum sum tulang yang menelan kos hampir RM60,000.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Teras Jernang, Bandar Baru Bangi untuk disolat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang selepas waktu Zohor.

Kid dan arwah Noraznin memiliki dua cahaya mata, Deanda sudah bekerja, manakala anak bongsu, Aaqil Naquidean bersekolah di tingkatan lima.

Bagaimanapun, usaha BH mendapatkan Kid tidak berjaya apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.

Sumber: Berita Harian
oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bh.com.my
Foto IG Kid Search