WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

KES DIJANGKA NAIK SEMULA

Dengan kes kumulatif 2,413,592 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 buah negara dilanda pandemik Covid-19


Back To Whats Hot

Kuala Lumpur: Trend menurun kes harian baharu Covid-19 yang stabil antara 7,000 hingga sekitar 6,000 sepanjang tempoh seminggu lepas dijangka melonjak semula dalam tempoh terdekat, antaranya kerana faktor rentas negeri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengunjurkan purata kes 7,576 untuk tempoh lima hari akan datang.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang memberitahu perkara berkenaan dalam sidang media kelmarin turut melaporkan tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan mencatat peningkatan sejak kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lepas.

Kelmarin, KKM melaporkan kes harian baharu sebanyak 6,210 kes termasuk 42 kes import.

Kes harian paling rendah untuk tempoh rangkuman mingguan 16 Oktober hingga 21 Okt dilaporkan pada 18 Oktober iaitu 5,434 kes. Kali terakhir angka kes harian baharu pada sekitar 5,000 kes adalah pada 28 Jun 2021 iaitu sebanyak 5,218 kes.

Sejak hampir sebulan lepas, jumlah kes sembuh terus mengatasi angka kes harian baharu membantu menurunkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan dalam negara.

Kelmarin, KKM melaporkan kes sembuh 7,562 kes, menjadikan kes kumulatif sembuh kelmarin berjumlah 2,303,583 kes (95.4 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 di seluruh negara), sementara kes kumulatif Covid pula sebanyak 2,413,592 kes.

Berdasarkan data Covidnow KKM kelmarin, kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan menurun kepada 81,775 berbanding 81,955 pada 20 Oktober lepas.

Untuk rekod, kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan pada 21 September 2021 iaitu 206,473 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman Facebook peribadi beliau pada 19 Oktober lepas mengingatkan agar semua pihak kekal mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan penuh disiplin.

"Setiap individu bertanggungjawab memelihara kesihatan mereka, keluarga, dan masyarakat sekeliling. Inisiatif menjalankan ujian kendiri sangat digalakkan apabila seseorang individu bergejala dan/atau sebelum melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman bagi melindungi orang lain di sekeliling.

"Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (T)," nasihat beliau.

Berikut rekod kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan 16 Oktober hingga 21 Okt 2021: 16 Oktober (7,509 kes), 17 Oktober (6,145 kes), 18 Oktober (5,434 kes), 19 Oktober (5,745 kes), 20 Oktober (5,516 kes) dan 21 Oktober (6,210 kes).

Rekod kes sembuh untuk tempoh rangkuman mingguan yang sama: 16 Oktober (9,531 kes), 17 Oktober (9,231 kes), 18 Oktober (8,435 kes), 19 Oktober (8,933 kes), 20 Oktober (9,401 kes) dan 21 Oktober (7,562 kes).

Dengan kes kumulatif 2,413,592 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 buah negara dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia Ukraine (2,701,600 kes) dan Filipina (2,740,111 kes).

Untuk kes pesakit memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) setakat kelmarin, angka kes menurun kepada 501 kes dan 205 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, jumlah kematian melibatkan pesakit Covid-19 di negara ini melepasi angka 28,000 pada Selasa 19 Oktober. Sebanyak 96 lagi kes kematian dilaporkan kelmarin, menjadikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 dalam negara berjumlah 28,234 kes.

Daripada 6,210 kes harian baharu yang dilaporkan kelmarin, sebanyak 116 kes (1.9 peratus) kategori 3, 4 dan 5 sementara 6,094 kes (98.1 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sementara itu, Dr Noor Hisham melaporkan pada 19 Oktober lepas, 134 kes baharu dikaitkan dengan (VOC), iaitu 132 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua (2) kes varian Beta (B.1.351).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan (VOI) sebanyak 2,386 kes.

Daripada jumlah dikesan tersebut, 2,366 kes VOC manakala 20 kes VOI.

Mengenai Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt, ia masih bawah kadar 1.0 seperti berikut: 16 Oktober (0.88), 17 Oktober (0.88), 18 Oktober (0.88), 19 Oktober (0.88), 20 Oktober (0.86) dan 21 Oktober (0.86).

Negeri mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 21 Oktober adalah Kuala Lumpur (1.03), Negeri Sembilan (1.00), Selangor (0.94) dan Melaka (0.94).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sehingga 21 Oktober 2021, jumlah kluster masih aktif di Malaysia terus menurun kepada 591 kluster. Secara keseluruhannya, ada 5,705 kluster dikesan di negara ini dan 5,114 kluster daripadanya, ditamatkan.

Sumber: BERNAMA