WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

INI PESAN NAIM DANIEL BUAT SELEBRITI, INSTAFAMOUS

Naim berkata sebagai 'Instafamous' serta selebriti yang mempunyai ramai pengikut seharusnya ada sifat bertanggungjawab


Back To Whats Hot

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel menyarankan kepada segelintir pempengaruh atau 'Instafamous' serta selebriti yang suka berkongsi apa saja foto atau video aktiviti mereka di media sosial supaya tidak cuba membangkitkan kemarahan orang lain ketika musim pandemik ini.

Naim berkata sebagai 'Instafamous' serta selebriti yang mempunyai ramai pengikut seharusnya ada sifat bertanggungjawab ketika mahu membuat sebarang perkongsian atau memuat naik apa sahaja di media sosial.

"Apabila kita didatangkan dengan pengaruh dan jumlah pengikut yang ramai, di mana ia menjadikan kita ini bahan rujukan dan ikutan oleh orang lain yang mengikut kita, untuk menjadi contoh terbaik sangat penting.

"Ini kerana kita 'feed' penonton dengan apa kandungan dibuat untuk disampaikan kepada mereka. Tapi, sekarang dengan apa dilakukan oleh segelintir 'Instafamous' serta selebriti ini semacam ikutan yang akhirnya membangkitkan kemarahan orang lain.

"Malah, walaupun hanya segelintir saja yang bersikap kurang bertanggungjawab ini, tapi orang ramai sudah pukul rata terhadap semua 'Instafamous' serta selebriti, tak boleh pakai dan sama sahaja," katanya.

Menurut pelakon drama Pia dan penyanyi lagu Sumpah ini, meskipun hanya sekumpulan kecil yang melakukan kesilapan dan kesalahan berkenaan, tapi reputasi buruk diberikan itu terpalit pada semua orang.

"Saya pun sendiri tak pernah merasakan menjadi selebriti atau 'Instafamous' ini sebagai 'tiket' yang melayakkan untuk dapat lampu hijau boleh buat semua benda yang diinginkan.

"Walau apapun, kita tetap kena pastikan dan tahu yang kita semua ini masih rakyat juga. Kita sama-sama perlu jaga kita dan tak ada sebarang pengkhususan atau 'double standard' untuk melakukan sesuatu perkara," katanya.

Justeru, ujar Naim sudah sepatutnya dipastikan setiap apa benda yang nak dikongsi serta dimuat naik di media sosial kita tidak akan mendatangkan sebarang sakit hati dan rasa marah orang lain.

"Dalam keadaan pandemik sekarang, ramai orang yang terjejas dan mempunyai masalah masing-masing dan boleh dikatakan kebanyakan daripada kita kita sedang berjuang dari segi kekuatan mental sebab kita tak tahu apa pula terjadi masa akan datang.

"Jadi, untuk kita menunjuk-nunjuk apa semua yang kita ada di media sosial, pastinya bukan semua orang suka. Oleh itu, kita kena berpada-pada. Saya percaya di media sosial ini kita jadi makin suka berkongsi apa sahaja dan setiap masa.

"Tapi, kita juga sebenarnya patut fikir di mana pula letaknya privasi untuk kita atau nilai diri kita sendiri sebagai simpanan peribadi. Jadi, dalam soal ini tetap ada benda yang kita boleh kongsi dan benda perlu disimpan," katanya.

Menurut Naim, seharusnya marilah bersama-sama menjadi selebriti dan 'Instafamous' yang positif dengan menyalurkan hanya perkara-perkara baik dan sekali gus tidak membangkitkan kemarahan orang lain.

Untuk kerjayanya, pada Aidilfitri ini Naim akan muncul buat kali pertama sebagai pengacara dengan Sharifah Shahirah untuk program Karok Ok yang akan menemui penonton, jam 10.30 malam di TV3 pada 23 Mei ini.

Selain mereka, barisan penyanyi lain turut diundang dalam program ini ialah Tuju, Loca B, Cik Manggis, Amir Masdi, Wany Hasrita dan Haqiem Rusli.

Sumber: Harian Metro
oleh Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my
Foto arkib NSTP