WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

ISU PALESTIN : RAGE AGAINST THE MACHINE DIPUJI DAN DIKECAM

Rage Against The Machine (RATM) menerima pelbagai reaksi dari seluruh dunia selepas mereka menyatakan sokongan terhadap Palestin


Back To Whats Hot

Kumpulan rap rock/metal popular, Rage Against The Machine (RATM) menerima pelbagai reaksi dari seluruh dunia selepas mereka menyatakan sokongan terhadap Palestin berhubung konflik terbaru negara itu dengan Israel.

Kumpulan dari Los Angeles, Amerika Syarikat yang dianggotai Zack de la Rocha (penyanyi), Tom Morello (gitar), Tim Commerford (bass) dan Brad Wilk (dram) menerusi satu hantaran di Facebook semalam menyatakan secara terbuka mesej sokongan dan tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang dihujani serangan udara Israel, baru-baru ini.

RATM yang mempunyai 5.2 juta pengikut di Facebook berkata, mereka berdiri bersama rakyat Palestin ketika mereka menentang keganasan penjajahan itu dalam semua bentuk. 

"Keganasan dan kekejaman yang kita saksikan di Sheikh Jarrah, perkarangan Al Aqsa dan Gaza adalah kesinambungan selama beberapa dekad dari pemerintahan apartheid Israel yang brutal dan pendudukan Palestin yang ganas," kata mereka.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi negatif dan positif daripada pengguna Facebook. Mereka turut dikecam hebat daripada netizen pro-Israel selain menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada netizen pro-Palestin terutama beragama Islam.

Ada di antaranya menyifatkan RATM berada di pihak yang salah kerana menyokong keganasan sedangkan rakyat Israel mahukan kedamaian.

Ada juga yang 'menasihatkan' mereka supaya terus bermain muzik dan diam tanpa perlu mengambil tahu mengenai konflik itu.

Dalam masa sama, RATM turut mendapat banyak sokongan daripada pengguna Facebook dari Malaysia yang mempertahankan pandangan RATM itu.

Hantaran berserta gambar seorang lelaki mengibarkan bendera Palestin berlatarkan kubah Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis itu menerima 24,000 komen dan lebih 61,000 tanda suka. Ia turut mencatat 13,000 perkongsian di Facebook.  

RATM yang ditubuhkan pada 1991 cukup sinonim dengan tema berhaluan kiri menerusi lagu dan lirik mereka.

Sumber: Harian Metro
oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my