WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

PASANGAN, AHLI KELUARGA BOLEH DUDUK BERSEBELAHAN DALAM PAWAGAM

Bagi meraikan pembukaan pawagam, GSC dan TGV memberikan pelbagai promosi termasuklah penjimatan hingga 50 peratus kepada peminat filem


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Rangkaian pawagam terbesar, Golden Screen Cinema (GSC) dan TGV Cinemas kini membuka semula premis kepada pencinta filem, sejak 5 Mac lalu.

Ini berikutan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Mac lalu. Sebelum ini, dilaporkan sektor panggung wayang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas tidak beroperasi hampir enam bulan, pencinta filem kini boleh menonton wayang di 26 lokasi GSC di seluruh negara, manakala TGV Cinemas pula kembali membuka semua pawagam kecuali TGV Miri dan Vivacity di Sarawak.

Selain itu, kerajaan juga membenarkan pasangan dan ahli keluarga duduk bersebelahan dalam auditorium, berbanding perlu duduk secara berselang, sebelum ini.

Bagaimanapun, dokumen berkaitan perlu disediakan sebagai bukti sekiranya diminta ekoran prosedur operasi standard (SOP) dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menerusi kenyataan GSC, peminat boleh memilih menonton filem seperti Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba The Movie Mugen Train, Stand by Me Doraemon 2, Raya and the Last Dragon, Don't Look Back, Endgame, Master dan banyak lagi. GSC kembali menayangkan filem Wonder Woman 1984 dan Shockwave 2.

Selain itu, beberapa filem baharu seperti Selamat Hari X Jadi, Monster Hunter dan Godzilla vs Kong akan ditayangkan.

Bagi meraikan pembukaan pawagam, GSC memberikan pelbagai promosi termasuklah penjimatan hingga 50 peratus kepada peminat filem.

Sementara itu, TGV turut menayangkan filem baharu seperti Raya and the Last Dragon, Monster Hunter, Master dan Anbirkiniyal.

TGV kembali menayangkan beberapa filem seperti Wonder Woman 1984, The Rescue dan banyak lagi yang tidak berkesempatan ditonton.

Bagi menggalakkan penonton ke pawagam, TGV menawarkan harga tiket serendah RM8 untuk ahli MovieClub dan RM10 untuk bukan ahli, manakala pengguna Touch 'n Go eWallet boleh mendapatkan tiket dengan harga RM12.

Penonton boleh menikmati makanan dan minuman pada kadar 50 peratus lebih murah daripada harga biasa.

Kesihatan penonton menjadi keutamaan, jadi kedua-dua pengendali pawagam itu berharap penonton sentiasa mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan supaya pawagam dapat menjadi lokasi hiburan selamat dikunjungi orang ramai.

Antara prosedur keselamatan yang akan dijalankan termasuklah melaksanakan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftar aplikasi MySejahtera ke dalam telefon bimbit bagi tujuan pengesanan kontak rapat, penjarakan fizikal dan menjalankan proses pembersihan dan sanitasi selepas setiap tayangan.

Penonton dinasihatkan sentiasa memakai pelitup muka di setiap kawasan awam, kecuali untuk makan dan minum.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my