WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

DERMA VAN JADI AMBULANS

Altimet mengalu-alukan jika ada pihak yang berminat menambah perkhidmatan ambulans percuma disediakan One Nation Centre


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Pernah dituduh mengabaikan rakyat tempatan yang hidup susah gara-gara aktif dengan kerja kemanusiaan di Syria, penyanyi rap, Altimet menyerahkan van miliknya untuk diubah suai sebagai ambulans.

Bekerjasama dengan Pertubuhan Wilayah Ummah Malaysia atau One Nation Centre, proses pengubahsuaian van yang membabitkan kos hampir enam angka itu giat dilakukan. Kenderaan terbabit dijangka sedia untuk digunakan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Altimet atau nama sebenar, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhada, 43, mengaku terpanggil mewakafkan van milik syarikatnya berikutan kenderaan itu jarang digunakan.

"Saya ada dua van yang digunakan untuk aktiviti perniagaan. Van itu sering disewakan kepada syarikat produksi mahupun penyanyi yang ingin menjadikannya pengangkutan bagi persembahan di luar daerah.

"Bagaimanapun, sejak COVID-19 melanda negara, perniagaan sewaan van tidak 'jalan' sangat. Jadi, saya terfikir kenapa tidak tukarkan daripada sumber wang kepada pahala.

"One Nation Centre pula mencari van untuk dijadikan ambulans. Daripada mereka bersusah payah mengeluarkan duit untuk membeli van, mengapa tidak saya wakaf salah sebuah van milik saya daripada tidak digunakan," katanya kepada BH Online.

Altimet bersyukur pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibantu itu dapat menjimatkan 50 peratus daripada kos melalui sumbangan van berkenaan.

"Buat masa ini, saya beri sebuah van. Kita lihat dahulu, jika pengubahsuaian berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan, mungkin kami akan fikir untuk menambah lagi khidmat ambulans," katanya.

Altimet berkata, masalah mendapatkan perkhidmatan ambulans persendirian secara percuma mendorong mereka menawarkan servis itu.

"Ambulans persendirian dan swasta memang ada, tetapi kos mendapatkan kemudahan ini mahal. Tidak semua orang mampu membayar kos perkhidmatan yang tinggi, apatah lagi, kita dalam pandemik COVID-19," katanya.

Namun, Altimet berkata, jika ada pengguna mahu membayar khidmat diberi, mereka boleh berbuat demikian mengikut kemampuan.

"Kami tidak akan mengenakan bayaran kepada pengguna ambulans. Namun, jika mereka mahu membayar, kami terima.

"Jika ada yang mahu membayar RM10 hatta 10 sen pun, kami tidak kisah. Wang itu boleh digunakan untuk menampung kos penyelenggaraan kenderaan itu kelak.

"Kami juga mengalu-alukan individu atau syarikat berminat untuk menaja perjalanan pengguna kami," katanya.

Buat permulaan, kata Altimet, perkhidmatan ambulans hanya disediakan untuk penduduk Lembah Klang.

Namun, kemungkinan perkhidmatan ambulans akan ditukar ke lokasi lain, beberapa bulan sekali.

"Setakat ini, sasaran kita adalah Lembah Klang. Kita akan lihat data dan maklumat yang dikumpul. Dalam pemerhatian kami, perkhidmatan ini lebih bermanfaat untuk kawasan yang memiliki kepadatan penduduk tinggi," katanya.

Altimet berkata, pihaknya mengalu-alukan jika ada pihak mahu menambah perkhidmatan ambulans yang dikendalikan badan itu.

"Kemukakan hasrat itu kepada One Nation Centre, bukan melalui saya. Saya tidak mahu ada pihak sangsi dalam menzahirkan ketelusan," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Serimah Mohd Sallehuddin
bhhip@bh.com.my
Foto Altimet