WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

BAYARAN I-SINAR DIBUAT BERMULA HARI INI UNTUK PERMOHONAN BERSTATUS TAK LULUS, TUNGGU KELULUSAN

Berita baik untuk rakyat Malaysia apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa permohonan kemudahan i-Sinar


Back To Whats Hot

BERITA baik untuk rakyat Malaysia apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa permohonan kemudahan i-Sinar yang dibuat sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat bermula Selasa, 2 Mac 2021.

Perkara itu diumumkan oleh KWSP pada Selasa berikutan pemansuhan kriteria kemudahan i-Sinar, bulan lalu.

KWSP dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

"Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.

"Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

"Bagi ahli yang mempunyai lebih RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

"Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000," katanya.

Menurut KWSP, ia melibatkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dibuat.

"KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan. Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya.

"Permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac 2021 kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 ahli," katanya.

Ia turut memberitahu bahawa permohonan tersebut juga membabitkan ahli bukan warganegara Malaysia.

"Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran," katanya.

Selain itu, ahli KWSP akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dimohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman e-Sinar Online, bermula 8 Mac ini.

"Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03-8922 4848. Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my," katanya.

Sumber: mStar
oleh: Iwan Shu-Aswad Shuib