WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

BANYAK MASA BERSAMA ANAK

Tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan ramai dalam kalangan kita kehilangan punca pendapatan


Back To Whats Hot

TEMPOH sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan ramai dalam kalangan kita kehilangan punca pendapatan dan ada juga yang tidak dapat melakukan kerja seharian atas beberapa kekangan.

Bagi pelakon, Eyra Hazali, tempoh PKP digunakan sebaik mungkin untuk memberi tumpuan kepada anaknya, Muhammad Hayder Qhalish yang kini berusia enam bulan.

Eyra yang popular menerusi drama dan filem berkata, suaminya yang juga penjaga gol pasukan JDT, Muhammad Haziq Nadzli juga tidak dapat menjalani sesi latihan, sekali gus memberi ruang kepadanya untuk menghabiskan banyak waktu di rumah.

"Saya dan Haziq habiskan masa di rumah untuk menyaksikan sendiri Hayder membesar. Pada masa sama, Haziq juga kini aktif dengan aktiviti penstriman secara langsung permainan video.

"Katanya, dari situ dia dapat juga menjana sedikit pendapatan," katanya.

Menurut Eyra, kerja lakonannya sehingga kini masih tergendala dan belum mendapat makluman untuk diteruskan atau tidak.

"Ada beberapa tawaran kerja yang ditunda dan ada juga yang dibatalkan. Selain kerja lakonan, ada beberapa kerja berkaitan promosi kempen dan sebagainya yang juga terpaksa ditunda.

"Tidak hanya duduk diam, dah alang-alang ada masa saya juga memulakan perniagaan menjual minyak aromaterapi," katanya.

Satu drama bersiri yang akan dibintanginya juga sepatutnya memulakan penggambaran tidak lama lagi. Namun dia masih menantikan makluman mengenai kebenaran untuk merentas negeri.

"Sepatutnya hujung bulan ini saya ada penggambaran di Terenggan

u untuk drama berjudul Masjid Nak Roboh yang akan ditayangkan di RTM. Jadi, sekarang saya masih menantikan sama ada dibenarkan untuk merentas negeri atau tidak.

"Drama ini adalah drama 13 episod dan dibintangi saya, Alif Hadi, Mosen Nadzli dan ramai lagi," katanya.

Baru-baru ini, Eyra berdepan situasi di mana gambarnya sekeluarga disalahgunakan individu tidak bertanggungjawab dan dimanipulasi untuk tujuan pemasaran di media sosial.

"Perkara ini bukan saja berlaku kepada saya, tetapi ramai artis lain. Jadi, sudah tiba masanya tindakan keras diambil untuk memastikan gambar serta nama kita tidak disalahgunakan.

"Ini kerana, saya tak mahu sekiranya ada perkara tak diingini berlaku, contohnya kerja jenayah dan tak pasal-pasal nama saya sekeluarga turut terpalit sama sedangkan kami tak tahu-menahu mengenai produk atau jenama itu," katanya.

Dalam laporan Harian Metro sebelum ini, Eyra sudah membuat laporan polis dan menantikan tindakan susulan daripada pihak berkuasa.

Sumber: Harian Metro
oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my