WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

NATASHA TUBUH SYARIKAT PRODUKSI

Berbekal pengalaman lebih 10 tahun aktif dalam kerjaya seni, ia cukup mematangkan pelakon dan pengacara dikenali Natasha Charmaine Rickson


Back To Whats Hot

BERBEKAL pengalaman lebih 10 tahun aktif dalam kerjaya seni, ia cukup mematangkan pelakon dan pengacara dikenali Natasha Charmaine Rickson.

Meski sudah membintangi banyak drama, Natasha akur namanya masih belum mekar seperti diharapkan dan dia kena berusaha gigih lagi untuk mengetengahkan bakatnya.

Berasal dari Sarawak, wanita berusia 30 tahun ini berkata, dia berhijrah ke ibu kota sekitar penghujung 2018 untuk mencari lebih banyak peluang bakat seninya dikembangkan.

"Saya menetap di Kuala Lumpur ini hampir tiga tahun dan alhamdulillah, semakin mendapat peluang dalam kerjaya lakonan dan pengacaraan. Bagaimanapun, saya ada impian lain yang ingin dicapai tahun ini.

"Selain terus memahat bakat dalam lakonan dan pengacaraan, saya kini bakal memiliki syarikat produksi sendiri dikenali Bloombordia Sdn Bhd yang akan beroperasi tidak lama lagi," katanya.

Menurut Natasha, dia nekad menubuhkan syarikat produksi sendiri kerana mahu memberi peluang buat dirinya serta bakat baharu yang lain untuk meneroka kerjaya seni. Ujarnya, dia perlu berani mengambil risiko.

"Setakat ini, urusan penubuhan syarikat produksi saya berjalan lancar yang mana sudah ada pejabat serta mendapat kelulusan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Segala urusan saya buat sendiri dan sekarang hanya tinggal untuk menghantar proposal kepada stesen TV tempatan bagi mendapatkan kerjasama pada masa akan datang. Sekarang pun, platform over the top (OTT) sudah banyak," katanya.

Berbicara juga mengenai lakonannya, Natasha kini muncul dengan drama Hari Kita Jatuh Cinta disiarkan Awesome TV. Katanya, biarpun menjayakan watak pembantu tetapi peluang diperoleh sangat bermakna.

"Saya juga teruja menantikan lakonan dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu yang akan disiarkan slot Akasia, TV3 tidak lama lagi. Sejujurnya, saya sangat gembira turut dapat peluang membintangi drama ini.

"Sejak sekian lama berlakon, baharu sekarang produk drama dibintangi akan disiarkan dalam slot utama yang popular seperti Akasia. Saya harap selepas ini, banyak drama yang dilakonkan disiar di TV3 dan Astro," katanya.

Memulakan langkah dalam kerjaya seni pada 2010 sebagai pengacara Bintang Kecil RTM ketika itu, Natasha berkata pembabitannya kerana minat. Malah, dia bersyukur mendapat sokongan padu daripada keluarga dan kenalan rapat.

"Dalam lakonan, saya baharu pertama kali mendapat watak utama pada tahun lalu untuk telefilem Lapis-Lapis Cinta berganding dengan Josiah Hogan, Nafiez Zaidi dan Lidya Yusreena disiarkan RTM.

"Kini, saya masih lagi memburu peluang untuk menimba lebih banyak pengalaman berlakon dan berhasrat akan dapat membintangi drama aksi pula. Setakat ini, watak baik, antagonis, seram dan komedi pernah saya lakonkan," katanya.

Sehubungan itu, Natasha juga pernah membintangi satu filem berjudul Janet Sumpah Terlarang. Manakala, antara telefilem dibintangi seperti Roda Warna, A Christmas Hug dan Bila Girlfriend Ajak Kahwin.

Bagi drama pula, antara lakonannya ialah Khalimah Cinta, Diari Si Penambang, Cinta, Puaka Bujang Senang, Syahadat Cinta dan Pelangi Hati. Selain itu, Natasha juga pernah muncul dalam beberapa iklan komersial.

Sumber: Harian Metro
oleh Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my