WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

'TURUNKAN GAMBAR ATAU TUNGGU SAMAN'

Awie menjelaskan tidak pernah dilantik untuk memasarkan atau mempromosikan produk makanan kesihatan yang didakwa menggunakan foto dirinya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie memberi amaran terakhir kepada syarikat pengeluar produk makanan kesihatan berasaskan sistem piramid menurunkan gambarnya untuk tujuan promosi jika tidak mahu disaman.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Osman, 53, mendakwa gambarnya digunakan secara berleluasa oleh ejen produk berkenaan di laman sosial seperti Facebook (FB) dan Instagram (IG) tanpa izin, lalu mencemar nama baiknya.

"Saya tidak pernah diupah atau dilantik untuk memasarkan atau mempromosikan produk terbabit.

"Saya tahu gambar saya disalahgunakan ejen syarikat terbabit, kira-kira sebulan lalu.

"Saya juga menafikan pernah menjalani sesi fotografi bersama syarikat terbabit. Sebaliknya, gambar saya dipalsukan.

"Mereka menggunakan wajah saya tetapi tubuh orang lain bagi mempromosikan produk. Sedangkan saya tidak pernah mengamalkan produk mereka.

"Saya juga tidak tahu-menahu kewujudan produk terbabit atau menyatakan sebarang bentuk sokongan untuk barangan dikeluarkan," dakwanya pada sidang media virtual di sini, hari ini.

Awie berkata, selepas menyedari apa yang didakwanya ada unsur penipuan, dia melantik peguam untuk mengendalikan kes berkenaan.

"Saya tidak mahu orang ramai tertipu menggunakan produk berkenaan disebabkan gambar saya, walhal saya tidak tahu menahu mengenai produk yang dipasarkan itu," katanya.

Awie berkata, surat tuntutan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates sudah dihantar pada 6 Januari lalu yang antara lain menuntut agar semua gambarnya tidak digunakan lagi.

Sementara itu, peguam bela dilantik Awie, Adnan Seman, berkata pihaknya memberi tempoh tujuh hari bermula dari tarikh surat tuntutan dikeluarkan, untuk pihak terbabit mengambil tindakan.

"Selepas berbincang dengan Awie dan menyemak FB dan IG, banyak bukti gambar anak guam saya digunakan untuk produk berkenaan.

"Ini memberi gambaran seolah-olah Awie pengguna produk terbabit dan dilantik sebagai duta.

"Syarikat terbabit sudah menjawab surat tuntutan pada 13 Januari lalu dan menafikan menggunakan gambar Awie tanpa kebenaran.

"Mereka mendakwa syarikat dan ejen tidak pernah menggunakan gambar Awie. Namun, kami ada bukti mereka berbuat demikian. Malah, melalui carian Google, semua gambar Awie terpampang," katanya.

Adnan berkata, selepas sidang media virtual ini, pihaknya akan memantau sebarang perkembangan sebelum tindakan susulan diambil.

Sumber: Berita Harian
oleh Serimah Mohd Sallehuddin
bhhip@bh.com.my
Foto IG Awie