WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

SOPHIA JUAL RUPA, IMEJ SEKSI?

Sophia Albarakbah tidak mahu larut dalam kesedihan sebaliknya mengambil cabaran untuk membuktikan bakat yang dimiliki


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Memiliki rupa paras cantik, ditambah pula berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina menjadi kelebihan buat pelakon baharu, Sophia Albarakbah, 27, untuk menempa nama dalam sekelip mata.

Namun, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Tercipta Satu Ikatan itu enggan mendabik dada dan menggunakan kelebihan yang dimiliki sebagai 'tiket ekspres' untuk cepat popular.

Masih hijau dalam dunia lakonan, namun nama Sophia sudah dikaitkan dengan gosip liar. Ada yang menuduhnya menjual muka dan imej seksi, sedangkan berlakon seperti kayu. Sophia juga dituduh menggunakan orang dalam untuk mendapatkan tawaran berlakon.

Sophia berkata, dia tidak pernah menjual paras rupa sejak bergelar pelakon, dua tahun lalu. Sebaliknya, apa yang ditekankan adalah bakat.

"Saya tahu ada segelintir mempertikaikan bakat lakonan saya, ada yang menuduh saya jual rupa dan imej seksi, sedangkan tiada bakat. Bagaimanapun, saya tidak berkecil hati, sebaliknya mengambilnya sebagai cabaran untuk membuktikan bakat yang dimiliki.

"Saya tekad mahu mengasah bakat dalam lakonan. Selama ini, saya tak pernah rasa diri cantik. Dan saya berlakon bukan bersandar pada rupa semata-mata. Jadi, saya tak bersetuju apabila ada yang menuduh syarikat produksi memilih saya disebabkan paras rupa.

"Sudah pasti, penerbit dan pengarah mahukan naskhah menarik untuk menjadi tontonan ramai. Takkan mereka mahu menanggung risiko dengan mengambil pelakon yang tidak pandai berlakon.

"Saya percaya mereka nampak bakat boleh diasah, jadi tak salah memberikan peluang kepada saya memperoleh pengalaman. Lagi pun, ramai pelakon lagi cantik daripada saya, mereka banyak pilihan. Kenapa mereka nak ambil pelakon cantik, tetapi tiada bakat?," katanya kepada BH Online.

Sophia berkata, dia agak terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

"Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi tidak mulut manusia. Saya akan terus berusaha menutup mulut orang dengan membuktikan saya mampu menjadi pelakon baik, suatu hari nanti.

"Secara jujur, terbit juga rasa terkilan di hati. Saya berlakon bukan disebabkan mengejar populariti, saya sememangnya minat. Secara tak langsung, lakonan juga menjadi punca pendapatan.

"Saya sudah melakukan yang terbaik, tetapi macam manapun, saya tak mampu nak memuaskan hati orang. Bagaimanapun, tidak semua netizen mengecam, malah ada juga yang memuji dan memberikan semangat kepada saya," katanya yang turut membintangi drama realiti kehidupan petugas barisan hadapan pada era pandemik COVID-19, Hadiah Dari Tuhan untuk siaran TV3.

Pelakon filem Mimaland dan Pasal Kau! itu berkata, dia mahu mengasah bakat bagi membuktikan tanggapan, kecaman dan kritikan negatif segelintir pihak salah.

"Saya percaya bakat boleh diasah, selagi mahu berusaha. Bagaimanapun sebagai seorang pelakon baharu, saya tahu perlu sentiasa memperbaiki kekurangan diri.

"Saya juga memasuki kelas untuk mendalami ilmu lakonan. Saya pun baru berlakon, jadi tentunya banyak kelemahan yang perlu diatasi," katanya.

Mengimbas permulaannya sebagai pelakon, Sophia berkata, dia mula membintangi filem 18 atas ajakan seorang teman.

"Teman mengajak saya menghadiri uji bakat untuk filem 18. Awalnya, saya menolak sebab malu, tetapi saya mencuba selepas dipujuk. Saya diberitahu diterima selepas seminggu.

"Bagaimanapun, filem 18 belum keluar hingga hari ini. Dari situ, minat lakonan makin bercambah. Kemudiannya, saya diterima selepas menghadiri uji bakat filem Mimaland.

"Selepas satu demi satu tawaran diterima, saya percaya dunia seni mungkin rezeki saya. Itulah menjadi titik permulaan saya dalam bidang lakonan," katanya.

Terdahulu, Sophia banyak menjayakan iklan komersial ketika menyambung pelajaran dalam bidang Dietetik di International Medical University.

"Ketika belajar, saya banyak menjayakan iklan. Saya kerja sambilan sebab nak cari duit poket. Sebelum itu, saya mengambil pengajian dalam jurusan Bioteknologi di Technology Park Malaysia.

"Saya tahu saya bukanlah seorang yang mempunyai asas dalam dunia lakonan, tetapi saya percaya boleh memperbaiki daripada masa ke masa," katanya.

Ekoran itu, sebelum menjayakan filem 18 dan Mimaland, Sophia menghadiri kelas lakonan bersama Farah Ahmad.

Mahu terus menghadiri kelas lakonan dan menggilap bakatnya, Sophia berharap, dia boleh membuat yang lebih baik pada masa hadapan.

Akuinya, berdepan dengan pelbagai kritikan netizen membuatkannya bersedih, tetapi hanya seketika. Sophia akur, ia adalah rencah hidup sebagai anak seni.

"Pada awalnya, saya rasa macam nak menangis. Saya akui mental koyak dan tak bersedia. Saya berfikir saya ada membuat kesalahan hingga netizen melemparkan tuduhan bukan-bukan.

"Apatah lagi, saya belum dikenali ramai. Bagaimanapun, perlahan-lahan wajah saya mula dikenali selepas membintangi dua filem yang sudah ditayangkan.

"Tetapi, kini, saya tidak lagi mengambil kritikan negatif sebagai satu alasan untuk bersedih. Saya bernasib baik mempunyai sokongan yang kuat daripada keluarga dan teman baik. Mereka banyak menasihatkan saya," katanya.

Ditambah pula namanya menembusi senarai Top 20 kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH33), baru-baru ini. Ia secara tak langsung menguatkan semangat untuk terus menggilap bakat dengan harapan namanya kembali dicalonkan dalam kategori berbeza, tahun ini.

Mengulas sisi peribadi, Sophia berkata, dia belum bersedia berbicara secara terbuka mengenai soal jodoh. Dia akan berkongsi sekiranya jodoh sudah tiba.

"Jika saya belum sampai jodoh, saya tidak akan berkongsi apa-apa. Buat masa sekarang, saya mahu fokus pada dunia lakonan, memandangkan masih hijau dalam bidang ini.

"Bagaimanapun, saya tak menolak sekiranya sudah sampai jodoh. Bagaimanapun, jika ikut perancangan, saya mahu fokus pada kerjaya terlebih dahulu," kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin 
fatin.farhana@bh.com.my
Foto IG Sophia Albarakbah