• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

HAQIEM SELESA NYANYI SOLO

Pendirian Haqiem Rusli pada tahun 2021 ini dilihat masih sama apabila belum terbuka hati untuk berduet dengan penyanyi wanita


Back To Whats Hot

Pendirian Haqiem Rusli pada tahun 2021 ini dilihat masih sama apabila belum terbuka hati untuk berduet dengan penyanyi wanita.

Walaupun sudah hampir lima tahun bergelar artis di bawah naungan FMC Music, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli lebih selesa dengan menyanyi solo.

"Buat masa ini saya lebih selesa fokus pada nyanyian solo. Bukan tak mahu tetapi nanti dulu. Memang ada penyanyi wanita yang ajak saya berduet untuk lagu baharu, tetapi saya menolak dengan cara baik. Bagi saya, biarlah saya betul-betul sukses dengan lagu solo dan lagu-lagu ciptaan saya dulu.

"Sebenarnya ramai juga yang minta saya buat lagu untuk mereka tetapi memandangkan waktu saya agak terhad jadi saya mohon maaf jika tidak dapat memenuhi permintaan mereka buat masa ini," katanya.

Tambah jejaka berusia 23 tahun itu, dia teruja apabila masih mendapat perhatian dan karyanya terus diangkat.

Terbaharu, Haqiem melancarkan single ke-14 yang juga menjadi runut bunyi drama bersiri Bidadari Salju berjudul Mimpi.

Menariknya, single Mimpi pantas mendapat perhatian peminat apabila episod pertama drama itu ditayangkan di kaca televisyen menjadi trending.

"Ramai yang DM saya dan bertanya kenapa apabila cari di YouTube, muzik video rasmi lagu Mimpi tiada? Pertanyaan itu membuatkan saya rasa sangat gembira dan rasa dihargai peminat. Dan untuk mereka yang ternanti-nanti Muzik Video mimpi, anda semua boleh menonton di saluran YouTube FMC Music sejak semalam.

"Apabila ramai yang bertanya saya pula yang rasa teruja seolah olah ini single pertama saya yang baru nak keluar, lain macam pula rasanya, mungkin lagu ini nak meletup luar biasa agaknya" kata Haqiem berseloroh.

Haqiem yang mula dikenali dengan lagu Segalanya dan Tergantung Sepi kini makin berani dan yakin mengetengahkan lagu ciptaan beliau sendiri untuk dipersembahkan buat semua peminat.

Mimpi adalah lagu kelima ciptaannya yang dinyanyikan sendiri selain Bangkit, Lembah Kesepian, Qiemillio dan What Can I Do For U.

Kali ini Haqiem bergandingan dengan pelakon dan penerbit, Datuk A Aida untuk menghasilkan lagu dan lirik Mimpi.

"Ini pengalaman pertama saya bekerja dengan Datuk A Aida di dalam studio. Saya suka semangat dan kesungguhan beliau sewaktu bekerja. Saya kagum dengan beliau. Dia bukan sahaja wanita yang berjaya dalam perniagaan, malah ibu tunggal yang gigih tanpa kenal erti putus asa," katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya untuk lagu Mimpi, Haqiem berkata, tipulah jika dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk lagu terbabit.

"Sudah tentu saya harapkan sesuatu daripada hasil kerja keras saya. Tahun 2021 ini saya nak orang mengenali Haqiem Rusli bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi mahu mencipta jenama sebagai komposer disegani seperti Datuk M Nasir dan Datuk Ahmad Nawab. Itu matlamat dan sasaran saya untuk tahun baharu ini.

"Saya juga harap single kali ini berjaya mencatat tontonan lebih 20 juta mengatasi catatan tertinggi lagu saya sebelum ini Selamat Tinggal Sayang. Lagu ini buah tangan saya di tahun baharu 2021 buat semua peminat yang saya kasihi," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my