WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

KAMI MACAM ADIK DENGAN ABANG - IMAN TROYE

Iman Troye mengulas spekulasi konon bercinta dengan pelakon dan penyanyi, Naim Daniel


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: 'Kami tiada apa-apa.....Macam adik dengan abang.'

Itu penjelasan bakat baharu, Iman Troye mengulas spekulasi konon bercinta dengan pelakon dan penyanyi, Naim Daniel.

"Saya dan Naim tiada apa-apa. Setakat ini, tidak pernah terlintas hubungan ini akan jadi lebih daripada itu.

"Malah, ia akan kekal begitu. Sebelum ini, timbul konon saya cemburukan hubungan Naim dengan seseorang. Semua itu sekadar gurauan," katanya kepada BH Online.

Mula dikenali apabila single sulungnya, Teman, 'meledak', Iman digosip menjalin hubungan rapat dengan Naim.

Spekulasi tambah hangat apabila masing-masing dilihat berkongsi foto berdua di laman sosial.

Iman atau nama penuhnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 18, berkata, bekas pengurus Naim kini mengendalikan kariernya, lantas hubungan mereka rapat.

"Saya kenal Naim apabila mula menyanyikan lagu Sumpah. Sejak itu, kami mula berhubung," katanya.

Sementara itu, Iman tidak menyangka lagu Teman ciptaan Ezra Kong dan lirik dihasilkan A Ramlee, diterima ramai.

"Saya tidak sangka penerimaan lagu ini meluas sehingga menjadi kandungan TikTok.

"Saya seronok menerima mesej langsung di Instagram (IG) yang dihantar peminat. Mereka sukakan lagu ini.

"Malah, ada pekerja barisan hadapan mengaku mendengar single Teman ketika waktu rehat. Mereka beritahu lagu itu meredakan tekanan," katanya.

Sebelum ini, Iman aktif memuat naik video nyanyian melalui IG sejak dua tahun lalu hingga dilamar syarikat rakaman, XO House.

Mengenai genre muzik lagu Teman, Iman berkata, single berkenaan berkonsepkan pop, bukannya dangdut.

"Mungkin lagu itu 'catchy' dan suara saya lenggok seperti dangdut.

"Insya-Allah single kedua akan menyusul, tidak lama lagi. Disebabkan saya suka sentuhan Ezra, lagu seterusnya adalah ciptaannya.

"Hendak tahu genre lagu, kenalah tunggu dan biar jadi kejutan," katanya.

Mengenai nama Troye, Iman memberitahu, idea mengabadikan nama itu timbul selepas dia meminati YouTuber dikenali sebagai Troye Sivan.

"Saya suka lagu dendangannya. Nama Troye melekat sejak menuntut di tingkatan dua sehingga sekarang," katanya yang sedang melanjutkan pengajian diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Sumber: Berita Harian
oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bh.com.my
Foto Ihsan IG Iman Troye