WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

ISTERI, ANAK ALIF NEGATIF COVID-19

Sha Dila berkongsi momen indah bersama Alif dan anak-anak yang dimuat naik September lalu, di IG


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Alif Satar mengesahkan laporan ujian saringan COVID-19 ke atas isteri dan tiga cahaya mata mereka menunjukkan keputusan negatif.

Berkongsi berita gembira di Instagram (IG), Alif yang dirawat selepas disahkan positif COVID-19 memberitahu, isterinya, Sha Dila Halid dan tiga anak kini dikuarantin di rumah selama dua minggu.

"Allah SWT memakbulkan doa kalian semua. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak Alif bebas daripada COVID-19 dan akan terus dikuarantin di rumah selama dua minggu.

"Alif menerima ribuan mesej dan kata-kata positif melalui IG dan WhatsApp. Alif baca dan di sini, Alif ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas doa tuan-tuan dan puan-puan sekalian," katanya.

Alif turut berdoa agar Tuhan memakbulkan permintaan semua pihak yang prihatin dengan keadaan kesihatan dirinya dan keluarga.

Sementara itu, Sha Dila yang dihubungi BH Online, bersyukur keputusan ujian saringan yang diterima pagi ini, mengesahkan dirinya dan tiga anak mereka iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3, dan Muhammad Ali yang berusia setahun, bebas daripada COVID-19.

"Alhamdulillah. Terima kasih semua yang mendoakan kami. Betul orang kata, kuasa dan azimat doa itu cukup hebat apabila dimakbulkan," katanya.

Namun, Sha Dila berkongsi momen dilalui sepanjang malam tadi yang dianggap cukup menakutkan dengan bermacam-macam perkara bermain dalam fikiran.

"Saya tidak tahu apakah keputusan akan menggembirakan diri atau sebaliknya. Dalam hati, orang terdekat seperti mentua, adik ipar dan kontak rapat yang lain positif COVID-19, mesti keputusan yang bakal diperoleh sama.

"Namun, pada masa sama, saya berharap keputusan negatif kerana saya dan anak-anak tidak ada simptom," katanya.

Malah, sebagai persiapan, Sha Dia mengemas barang keperluan dan memasukkan ke dalam bagasi jika keputusan diterima memerlukan mereka dirawat di hospital.

"Dalam sibuk mengemas barang masuk ke dalam beg, saya terfikir macam macam.

"Bayangkan jika saya sahaja yang positif dan anak sebaliknya. Apa akan jadi kepada mereka. Siapa nak jaga mereka?

"Kalau terpisah dan kena tinggal berasingan, macam mana agaknya yang akan berlaku. Berapa lama akan terpisah dengan anak, suami dan mentua?

"Kalau boleh dalam hati biarlah jangan sampai terpisah," katanya.

Tambah Sha Dila, biarpun sudah disahkan negatif, dia dan anak-anak terus berjaga-jaga.

"Saya dan anak perlu kuarantin di rumah. Kami kena berusaha untuk memastikan semua selamat daripada wabak ini," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bh.com.my
Foto IG Alif Satar