WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

TERCALON LAGI, DAYANG HARGAI PEMINAT

Dayang cukup berbesar hati sekali lagi tercalon dalam kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia pada ABPBH 33


Back To Whats Hot

Bagi penyanyi hitam manis yang sejak 22 tahun lalu mengabdikan diri dalam dunia seni, apa yang lebih penting adalah sokongan tidak berbelah bahagi peminat terhadap dirinya.

Dayang yang popular menerusi lagu Di Pintu Syurga, tidak pernah mengejar anugerah.

Sebaliknya, akui gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini, pengiktirafan daripada peminat lebih menjadi keutamaan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur masih lagi dicalonkan tahun ini.

"Saya ingin berterima kasih kepada peminat kerana sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya seni. Saya harap sokongan mereka akan berterusan sampai bila-bila.

"Biarpun masih belum menang trofi di ABPBH bagi kategori solo, saya tidak pernah putus asa. Namun, andai rezeki memihak kepada saya, itu adalah penghargaan buat peminat.

"Bagi saya, kalah atau menang tidak penting kerana sokongan peminat lebih bermakna buat saya," katanya kepada BH Online.

Pada ABPBH 32, gandingan Dayang dan Hael melalui lagu Haram membolehkan mereka membawa pulang trofi Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Penyanyi yang lahir daripada program Golden Teen Search 1997 anjuran RTM ini bersyukur kerjaya seninya masih lancar.

Namun, ujarnya, perjalanan itu bukanlah mudah kerana banyak onak dan duri perlu ditempuhi.

Demi memastikan dirinya terus kekal relevan dan mampu menandingi bakat baharu, Dayang sentiasa berusaha meneroka genre muzik berbeza.

"Saya bersyukur masih mampu bertahan. Saya sentiasa bekerja keras dan tidak takut untuk meneroka sesuatu yang baharu.

"Saya sentiasa tonjolkan kelainan agar peminat tidak bosan. Kunci paling penting adalah jangan mudah berputus asa dan sentiasa bekerja keras," kata Dayang yang sedang mengumpul material untuk produk terbarunya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kesan penularan COVID-19 kepada karier seninya, Dayang mengaku terjejas.

Apatah lagi, banyak undangan persembahannya dibatalkan. Namun, Dayang tidak 'goyang kaki' di rumah, sebaliknya, melakukan banyak kerja atas talian.

"Saya juga bimbang keselamatan keluarga. Jadi, untuk tidak mendatangkan risiko kepada ahli keluarga yang lain, saya lebih selesa bekerja di rumah sahaja," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Serimah Mohd Sallehuddin
bhhip@bh.com.my
Foto IG Dayang Nurfaizah