• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

PERGINYA LEGENDA GITARIS ROCK

Eddie Van Halen meninggal dunia pada usia 65 tahun di Los Angeles, Amerika Syarikat kelmarin selepas sekian lama bertarung dengan kanser tekak


Back To Whats Hot

Pemain gitar legenda dari kumpulan Van Halen, Eddie Van Halen meninggal dunia pada usia 65 tahun di Los Angeles, Amerika Syarikat kelmarin selepas sekian lama bertarung dengan kanser tekak.

Pemergiannya itu disahkan ahli keluarga yang turut berada di sisi Eddie ketika dia menghembuskan nafas terakhir.

Anak lelakinya, Wolfgang turut berkongsi khabar duka itu di Twitter dan mengakui sangat sedih dengan pemergian bapa tercintanya itu.

"Saya tidak percaya saya menulis ini, tetapi bapa saya, Edward Lodewijk Van Halen tewas dengan kanser yang dideritainya sekian lama hari ini (kelmarin).

SOLO gitar ‘berhantu’ Eddie dalam lagu instrumental, Eruption antara yang terhebat sepanjang zaman.
SOLO gitar ‘berhantu’ Eddie dalam lagu instrumental, Eruption antara yang terhebat sepanjang zaman.

 

"Dia adalah bapa terbaik dan yang saya tidak boleh minta lebih. Setiap saat saya kongsikan dengannya di pentas mahupun di luar adalah satu anugerah. Hati saya benar-benar luluh dan tidak fikir akan dapat pulih daripada rasa kehilangan ini. Saya sangat menyayangimu, Pop (bapa)," tulisnya.

Pada 2002, sebahagian lidah Eddie pernah dipotong akibat kanser terbabit.

Mendiang juga dilaporkan berulang-alik ke hospital serta menjalani rawatan di Jerman.

Eddie yang dilahirkan di Amsterdam, Belanda dan dibesarkan di California menubuhkan Van Halen bersama pemain dram yang juga abangnya, Alex Van Halen pada 1972 yang turut dianggotai David Lee Roth (penyanyi) dan Michael Anthony (bass).

Van Halen diiktiraf sebagai antara band rock paling berpengaruh di dunia dengan lagu seperti Jump, Panama, Runnin' With The Devil dan solo gitar 'berhantu' Eddie dalam lagu instrumental, Eruption.

Album mereka terjual lebih 80 juta unit di seluruh dunia dan album keenam, 1984 adalah yang paling berjaya dan terjual lebih 10 juta unit di Amerika Syarikat.

Ia juga mengandungi empat single popular termasuk Jump yang menjadi satu-satunya lagu mereka yang menduduki tempat pertama carta lagu US.

Bagaimanapun, perselisihan faham antara Eddie dan Roth ketika konsert jelajah album 1984 menyebabkan Roth meninggalkan Van Halen pada 1985.

Difahamkan, salah satu puncanya ialah Roth tidak bersetuju dengan tindakan Eddie bermain gitar untuk single popular Michael Jackson, Beat It pada 1983.

Bagaimanapun, Van Halen mengumumkan konsert reunion mereka pada 2007 dan Roth kembali bersama kumpulan itu buat pertama kalinya selepas 22 tahun.

EDDIE bersama Roth (kiri) dalam satu persembahan.
EDDIE bersama Roth (kiri) dalam satu persembahan.

 

Namun, satu lagi konsert jelajah yang dirancang pada 2012 terpaksa dibatalkan apabila Eddie terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.

Van Halen bergabung kembali pada 2015 untuk konsert jelajah Amerika Utara.

Eddie yang dikenali dengan teknik 'tapping' ketika melakukan solo gitar dipilih sebagai pemain gitar nombor satu oleh majalah Guitar World menerusi undian pembaca 'The 100 Greatest Guitarists of All Time' pada 2012.

Pemergian Eddie sememangnya cukup dirasai semua pemuzik rock legenda dunia termasuk yang menjadikannya sebagai idola.

Sumber: Harian Metro