WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

ROYALTI RM57 JUTA DIAGIH

Melalui detik sukar apabila sumber pendapatan penggiat seni kreatif terjejas akibat penularan COVID-19 sejak awal tahun ini


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Melalui detik sukar apabila sumber pendapatan penggiat seni kreatif terjejas akibat penularan COVID-19 sejak awal tahun ini, karyawan terutama komposer dan penulis lirik yang berdaftar dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) kini mampu menarik nafas lega.

Sejak Selasa lalu, badan itu mengagihkan bayaran royalti kepada komposer dan penulis lirik bernilai RM57 juta, lebih awal daripada tempoh dijanjikan biarpun pandemik menjejaskan operasi dan pentadbiran syarikat terbabit.

Bersyukur proses pengagihan lancar, Pemangku Pengurus MACP, Justin Johari, berkata seramai 4,402 ahli yang berdaftar sehingga 31 Disember 2019 sudah diberi bayaran royalti seperti diperuntukkan.

"Sebelum ini, kami memaklumkan kepada ahli melalui e-mel dan Facebook (FB) bahawa agihan akan dilaksanakan pada awal Oktober.

"Bagaimanapun, proses itu dapat diselesaikan lebih awal. Kami berjaya melaksanakannya, Selasa lalu.

"Namun, ramai tidak faham dan menyangka proses pengiraan sekejap. Sebenarnya, ia mengambil masa lebih kurang tiga hingga empat bulan.

"Memang setiap tahun kami mengagihkan royalti pada Julai, namun, berikutan COVID-19, proses pengiraan bermula lewat. Jika ditolak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya dapat memulakan proses pengiraan, Mei lalu dan bersyukur tugas ini dapat diselesaikan cepat dari jangkaan," katanya kepada BH Online.

Justin berkata, pendapatan MACP meningkat pada 2019 sebanyak RM57 juta, berbanding RM54 juta pada tahun sebelumnya.

Tambahnya, antara elemen ketara adalah peningkatan kutipan daripada sektor digital iaitu daripada RM12.3 juta pada 2018 kepada RM22.9 juta, tahun lalu.

Namun, Justin berkata, bagi kategori pelesenan umum antaranya membabitkan hotel, kedai atau 'retail', restoran, pusat karaoke dan konsert, menurun daripada RM32.9 juta kepada RM25.5 juta.

"Selaras dengan itu, MACP berjaya mengekalkan nisbah kos pendapatan sebelum cukai pada 4.6 peratus," katanya.

Justin berkata, jika diikutkan, MACP mensasarkan anggaran kutipan royalti sebanyak RM60 juta bagi 2019.

Sehubungan itu, Justin berharap, ahli MACP boleh membayangkan penurunan kutipan bagi 2020 ekoran pandemik COVID-19.

"Sehingga Oktober ini, kita boleh lihat pusat hiburan seperti kelab malam dan sebagainya, masih ditutup.

"Apatah lagi persatuan mewakili pengguna memohon diskaun dan pengecualian pembayaran ekoran pandemik ini.

"Apa yang diharapkan, dengan baki tiga bulan lagi, kami boleh mendapatkan kutipan yang baik untuk 2020," katanya.

Terdahulu, berita pengagihan royalti diumumkan Pengerusi MACP, Datuk M Nasir pada mesyuarat agung tahunan (AGM), Isnin lalu. Pada mesyuarat itu, MACP berkongsi pelbagai faedah bersama ahlinya.

M Nasir berkata, biarpun bukan badan kebajikan, MACP dapat meneruskan beberapa aktiviti dan faedah untuk ahli.

"Antaranya sumbangan kepada waris ahli yang meninggal dunia dan bayaran balik perbelanjaan hospital sehingga RM10,000 sepanjang tempoh keahlian.

"MACP juga menyalurkan sumbangan RM500 bagi perbelanjaan hospital untuk seorang ahli keluarga terdekat, geran pendidikan dalam muzik atau bidang yang berkaitan serta penyertaan dalam aktiviti anjuran MACP seperti bengkel,

Malam MACP dan sukan secara percuma atau pada kos yang minimum," katanya.

Selain itu, untuk ahli yang berusia 55 tahun ke atas, elaun RM500 diberi kepada individu yang memenuhi kriteria 50 karya berdaftar dengan MACP dan menjadi ahli untuk sekurang-kurangnya 10 tahun.

MACP turut memberikan sumbangan RM500 kepada ahli berikutan cabaran yang dihadapi disebabkan penularan COVID-19.

"Namun, semua faedah ini tidak bersifat kekal. Ia akan dikaji semula oleh lembaga pengarah dari masa ke semasa berdasarkan kemampuan MACP berikutan jumlah ahli semakin meningkat.

"Sebagai contoh, sumbangan kepada waris adalah bergantung kepada sumbangan ahli kepada industri muzik dan tidak semua keluarga ahli akan menerima jumlah yang sama," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my