WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

KARYA YONNY SEMAKIN MENYERLAH

Kerjaya seni komposer dan penyanyi rap, YonnyBoii mungkin masih hijau, namun dia berjaya membuatkan kehadirannya dalam industri muzik Malaysia


Back To Whats Hot

Kerjaya seni komposer dan penyanyi rap, YonnyBoii mungkin masih hijau, namun dia berjaya membuatkan kehadirannya dalam industri muzik Malaysia semakin dirasai.

YonnyBoii yang mesra disapa Yonny ini, disifatkan peminat sangat berbakat dalam menghasilkan karya menerusi ciptaan melodi indah yang menangkap perhatian pendengar serta nukilan lirik mantap.

Ia berikutan, lirik ditulis Yonny itu didapati menggunakan bahasa mudah yang sarat dengan makna hingga mampu memberi kesan kepada pendengar.

Sejak membuat kemunculan di arena muzik tahun lalu, Yonny sudah menghasilkan lebih 14 lagu termasuk karya solo dan kolaborasi bersama artis tempatan.

Namanya mula meledak menerusi kolaborasi dengan penyanyi rap Zynakal dalam lagu Sakit yang berjaya menduduki tempat pertama carta RIM iaitu Lagu Yang Paling Banyak Distrim selama 14 minggu berturut-turut dan sehingga ke hari ini masih kekal dalam carta itu untuk minggu ke-35.

Bukan hanya Zynakal, Yonny juga pernah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi lain seperti Caprice menerusi lagu Takut (2019), Azlan & The Typewriter dalam lagu Kelabu (2020) dan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique menerusi lagu X Missing You (2020).

Selain itu, Yonny turut berjaya menempatkan lagu Sakit sebagai lagu runut bunyi drama Budak Tebing yang ditayangkan di Slot Lestary TV3 pada April lalu.

Terbaharu, bakat muzik Yonny mendapat pujian ramai termasuk Sifu Datuk M Nasir apabila persembahannya dalam program Immortal Songs Malaysia di TV3 pada 20 September lalu berjaya menarik perhatian penonton.

Persembahan lagu Keroncong Untuk Ana yang disusun semula muziknya dalam bentuk 'irama Jazz dinyanyikan Yonny dengan gayanya tersendiri.

Ingin terus berjalan, Yonny muncul pula dengan lagu baharunya berjudul Boleh Bla. Lagu ini adalah karya kelima Yonny beraksi solo, selepas muncul dengan lagu Tujuan pada 2019, diikuti Salahku (April 2020), Aku Itu Aku (Mei 2020) dan Sheenta (September 2020).

"Lagu ini adalah karya untuk membangkitkan semangat diri apabila berhadapan dengan kata nista orang. Ia adalah reaksi kepada orang yang sering berkata buruk terhadap diri kita, yang sibuk menghakimi kehidupan kita dan tidak senang hati dengan kejayaan kita.

"Selain itu, lagu ini turut memfokuskan mengenai ego seseorang yang sudah dipendam lama. Apabila sering dipijak, lambat laun ego kita juga akan bangkit mempertahankan diri," katanya.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia ini sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak 25 September lalu.

Bahkan, video lirik lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia. Hingga kini, video lirik lagu Boleh Bla sudah mencecah 114,000 tontonan.

Sumber: Harian Metro
oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my