WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

ADIK-BERADIK KARDASHIAN UCAP SELAMAT TINGGAL

Keluarga Kardashian mencipta populariti sekelip mata apabila program realiti, Keeping Up With The Kardashians disiarkan pada 2007


Back To Whats Hot

LOS ANGELES: Selepas mencetus fenomena dalam segmen program realiti televisyen (TV) selama 21 musim sejak hampir 14 tahun lalu, adik-beradik Kardashian akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada peminat.

Semalam, Kim Kardashian melalui entri di Twitter dan Instagram (IG), mengumumkan program realiti 'dibintangi' dirinya, adik-beradik dan keluarga, Keeping Up With The Kardashians, akhirnya melabuhkan tirai.

Musim terakhir program realiti itu akan ditayangkan awal tahun depan.

"Dengan berat hati, kami melakukan keputusan yang amat sukar apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Keeping Up With The Kardashians.

"Selepas hampir 14 tahun, 20 musim serta beratus-ratus episod dan beberapa program 'spin off', kami amat berbesar hati atas kesudian anda menonton program kami selama ini.

"Tidak kiralah pada saat sukar atau senang, gembira dan sedih. Juga perhubungan yang silih berganti dan dengan kehadiran anak-anak, kami sentiasa menghargai memori indah serta peluang bertemu dengan begitu ramai orang.

"Terima kasih kepada ribuan individu dan perniagaan yang pernah menjadi sebahagian daripada pengalaman kami dalam program itu," katanya dalam coretan di laman sosial itu.

Kim juga mengucapkan terima kasih kepada pengacara dan penerbit, Ryan Seacrest kerana mempercayai jenama Kardashians selama ini.

"Saluran E! menjadi rakan usaha sama kami dan pasukan produksi Bunim/Muray yang tanpa mengira waktu merakamkan perjalanan hidup kami," katanya.

Tambah Kim, jika bukan kerana fenomena dicetuskan program Keeping Up With The Kardashians, dia dan adik-beradik yang lain iaitu Kris, Kourtney, Khloe, Kylie, Rob, Kendall dan Scott tidak akan dikenali dan berada di tempat mereka sekarang.

"Kami terhutang budi kepada mereka yang memainkan peranan penting dalam membentuk karier sehingga berjaya mengubah kehidupan kami.

"Program ini meletakkan di mana kami berada sekarang," katanya.

Keluarga Kardashian mula dikenali selepas program itu disiarkan buat pertama kalinya pada 2007.

Sebelum itu, Kim muncul dalam beberapa episod program realiti rakan baiknya, Paris Hilton sebelum terbabit dalam rancangan sendiri.

Bapa Kim, Robert Kardashian adalah peguam keturunan Armenia-Amerika Syarikat (AS) yang cukup dikenali kerana mengendalikan perbicaraan kes bintang sukan, O J Simpson.

Keeping Up With The Kardashians pada mulanya memfokuskan kepada kehidupan Kim, Kourtney dan Khole bersama pasangan masing-masing.

Program itu dikembangkan apabila menampilkan ibu mereka, Kriss Jenner bersama bekas suami, Bruce Jenner yang kini dikenali sebagai Caitlyn Jenner selepas mengamalkan gaya hidup sebagai transgender.

Sumber: Berita Harian
oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Foto IG Kim Kardashian