• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

WINGS TETAP UNGGUL

Persembahan kumpulan Wings nyata masih unggul


Back To Whats Hot

Mendapat tontonan 'Live Streaming' lebih 3,500 peminat di 10 buah negara antaranya United Kingdom, Switzerland, Australia, New Zealand, Taiwan, Singapura, Brunei, Hong Kong dan Malaysia sendiri, persembahan kumpulan Wings nyata masih unggul.

Disertakan juga dengan kehadiran lebih 260 penonton, konsert MARii Wings Kita Merdeka di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre, Jalan Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, berjaya membuktikan kehebatan.

Konsert kumpulan rock legenda itu berlangsung pada 29 Ogos lalu dengan membawa dimensi baharu.

Vokalisnya, Datuk Awie berkata, ia adalah hari bersejarah bagi mereka kerana dapat beraksi dalam sebuah konsert maya 'Live Streaming' secara besar-besaran dan ditonton oleh peminat di seluruh dunia.

"Ia satu pencapaian baru dan sangat bermakna buat kami. Ini satu langkah yang baik dan perlu dijalankan terus untuk artis-artis lain pula.

"Terima kasih kepada penganjur yang datang melamar kami untuk konsert ini dan agak terperanjat juga kerana hanya ada tempoh sebulan setengah daripada tarikh perjumpaan dibuat bagi perbincangan sehingga persembahan ini berlangsung.

"Awalnya, saya kata bolehkah dan mampukah untuk Wings lakukan projek persembahan berskala besar ini. Namun, penganjur amat yakin dan Alhamdulillah kepercayaan itu akhirnya menjadi satu kenyataan. Terima kasih juga kepada pihak penaja lain," katanya.

Menurut Awie , persembahan itu juga bertujuan meraikan kemerdekaan negara, selain menyambut ulang tahun ke-35 Wings di persada seni tanah air.

"Perjalanan selama 35 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Jatuh bangun, bergaduh dan berbaik serta sebagainya sampailah kami ke peringkat ini iaitu lebih tiga dekad. Terasa terlalu cepat masa berlalu.

"Diam tak diam, kami membesar di atas pentas bersama-sama. Kami kongsi menangis dan gembira juga. Macam-macam peristiwa kami lalui bersama.

"Alhamdulillah, Tuhan sayangkan kami dan Wings mampu meneruskan perjuangan ini bersama selagi diperlukan. Terima kasih tak terhingga juga kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara kerana memberi sokongan," katanya.

Kumpulan rock 'otai' Wings dianggotai oleh Awie, Eddie, Black serta dua pemain gitar undangan iaitu Edrie Hashim dan Syam tampil di atas pentas pada jam 9 malam.

Antara lagu-lagu dipersembahkan ialah Puisi Merdeka, Kau Bukan Brader, Mabuk 7 Lautan, Crazy Night, Dalam Kehadiran Sofea, Pengabdian Kekasih, Sejati, Jerangkung Dalam Almari, Romania, Ingatkan Dia dan Sekeping Kertas Bermaruah.

Lagu Bujang Senang dipilih sebagai persembahan yang paling singkat. Bagaimanapun peminat tetap terpukau dan berasa amat terhibur dengan kehebatan vokal Awie serta persembahan anggota Wings pada konsert itu.

"Wings ada berpuluh album. Jadi, kalau asyik nak kena ulang nyanyi lagu yang sama sahaja, lebih baik tak payah kami buat banyak album.

"Setiap kali Wings buat persembahan, saya akan fikirkan kepuasan pemuzik ini. Kalau mereka puas termasuk saya, insya-Allah penonton juga akan mendapat kepuasannya

"Lagipun, kami diberi masa lebih satu jam untuk buat persembahan dan syukur kesemua lagu ditampilkan agak terhad," kata Awie ketika menjawab pertanyaan mengenai pemilihan lagu didakwa kurang 'menyengat'.

Sebelum itu, peminat terlebih dahulu disediakan dengan persembahan pembuka pentas daripada penyanyi Yonnyboii dengan lagu Aku Itu Aku dan Zynakal (Terbang).

Gandingan dua anak muda berbakat ini makin menyerlah menerusi lagu duet berjudul Cemburu dan Sakit yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Sumber: Harian Metro
oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my