• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

MIRA, EMIR SAH SUAMI ISTERI

Dengan sekali lafaz, Mira Filzah, 27, sah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, Mira Filzah, 27, sah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, di sebuah pusat konvensyen di Bukit Kiara di sini, malam tadi.

Anggun menggayakan busana kurung Pahang, Mira atau nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman dan Emir dinikahkan bapa Mira, Badioezaman Ab Khalik pada jam 8.58 malam.

Majlis yang dilangsungkan mengikut rutin normal baharu, turut disaksikan ibu pengantin lelaki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid dan ibu Mira, Faizatul Akmar Hisan.

Kira-kira 250 tetamu merangkumi anggota keluarga dan teman rapat pasangan berkenaan, diundang memeriahkan majlis yang turut disiarkan secara langsung di akaun YouTube TV3.

Pada majlis itu, rombongan pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas dan sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang daripada pengantin perempuan. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Mira ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah bersyukur majlis berlangsung sempurna seperti dirancang.

"Walaupun sudah bergelar isteri, Mira akan terus menyambung karier lakonan seperti biasa.

"Mira ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang diberi seawal kerjaya Mira sehingga hari ini.

"Doakan yang terbaik untuk Mira dan Emir," kata pemegang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan Julai lalu selepas hampir setahun berkenalan.

Majlis resepsi kedua berlangsung di Hotel di Le Meridien, Putrajaya, malam esok, yang akan dipancarkan secara langsung di TV3.

Satu lagi majlis resepsi akan diadakan di sebuah premis acara di Puchong, Ahad ini dan disiarkan secara langsung melalui program Melodi terbitan stesen televisyen (TV) itu.

Sumber: Berita Harian
oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bh.com.my