WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

TIADA PERASAAN DIASAK NETIZEN

Lapan tahun bergelumang menjadikan pelakon, Reen Rahim, 32, sudah lali dengan 'permainan' dunia seni


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Lapan tahun bergelumang menjadikan pelakon, Reen Rahim, 32, sudah lali dengan 'permainan' dunia seni, malah kian kebal berdepan dengan kecaman netizen.

Juara program realiti Pilih Kasih musim ketiga itu sudah terbiasa dengan sepak terajang dunia hiburan.

Ketika bakatnya mula diperhatikan ramai selepas meledak dengan watak Kak Su menerusi drama Pujaan Hati Kanda, tahun lalu, impaknya juga memberi kesan kepada kehidupan peribadinya.

Gaya hidup termasuk suka berpakaian seksi dan mencolok mata dilihat tidak seiring dengan watak yang dimainkan di kaca televisyen.

Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim berkata, dia dia selesa menjadi diri sendiri. Soal kerja dan peribadi, dua perkara yang perlu dibezakan.

"Lakonan adalah minat saya. Kehidupan sebenar pula ketika saya menjadi diri sendiri, bukannya pelakon. Tetapi, saya anggap satu kejayaan apabila lakonan menjadi bualan penonton hingga mereka mengambil tahu tentang diri saya.

"Saya mahu berkongsi bakat menerusi lakonan, usah campur aduk realiti kehidupan saya sebenar," katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Gangster Celop, Soulmate Hingga Jannah dan Mawar Putih itu berkata, dek gaya berpakaian yang di kongsi dalam media sosial, dia mengambil pendekatan menutup ruangan komen jika perlu.

"Saya sudah tiada perasaan apabila diasak netizen. Jadi, saya ambil langkah menutup ruangan komen untuk gambar tertentu daripada membiarkan komen negatif.

"Jujurnya, saya tak pernah kisah dengan komen dan kecaman. Cuma, saya tak mahu memeningkan kepala untuk hal tidak perlu. Ini cara hidup saya. Tiada guna membiarkan komen negatif menerjah dalam hidup.

"Cuma, tak semua ada kekuatan untuk menepis komen negatif. Bagaimana perasaan keluarga dan peminat yang sayangkan saya. Jadi, saya tak mahu komen buruk mengganggu emosi mereka," katanya.

Diusik soalan cepu emas berhubung percintaan dengan kekasih di Scotland, Reen dengan pantas menjawab.

"Saya tak nak jawab soalan peribadi," katanya sambil mengelak.

Mengenai perkembangan seni, Reen bersyukur bukan hanya menjadi pilihan drama, malah terima tawaran layar perak.

Beberapa filem lakonannya sudah ditayangkan di Astro First seperti Arus Merah, Syif Malam Raya dan Town Mall.

Cukup bererti apabila filem Syif Malam Raya yang disiarkan di Astro First akan dibawa ke pawagam tidak lama lagi.

"Saya bersyukur 10 hari tayangan mengutip lebih RM3 juta. Ada hikmah tersendiri apabila disiarkan di saluran berbayar pada musim perayaan lalu," katanya.

Dalam pada itu, demi tuntutan watak ala tomboy bernama Zack yang bekerja sebagai mekanik kereta dalam filem Daddyku Gengster, Reen berkata, dia tak kisah mengorbankan rambut.

Lucunya, kata Reen, dia menjadi lebih feminin apabila menggayakan rambut pendek dalam filem arahan Ismail Bob Hasim terbitan D'Ayu Pictures itu.

"Harapan saya apabila potong rambut dapat meresap watak Zack, tetapi sebaliknya. Sisi seorang wanita lebih terserlah pula.

"Penggambaran dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi hanya 20 peratus penggambaran sempat dilunaskan. Jujurnya, agak menyukarkan untuk kembali menghidupkan watak ini.

"Alhamdulillah, bantuan pengarah dan pasukan produksi, saya akhirnya dapat lakukan. Cuma, apa yang membimbangkan, adakah saya kembali mendapatkan momentum watak selepas lebih tiga bulan berehat," katanya yang sibuk di lokasi penggambaran drama Kelmarin Cinta arahan arahan Jamal Khan untuk TV Okey.

Drama terbitan Cinema Stage Production buat kali pertama menyaksikan Reen bergandingan dengan Shukri Yahaya sebagai teraju utama.

"Saya cukup senang bekerjasama dengan Shukri. Dia jenis 'gila-gila'. Sebelum ini, saya pernah berselisih di lokasi penggambaran, tetapi kami tiada babak bersama.

"Shukri, sangat profesional, kami boleh serasi, mungkin sebab sama-sama gila," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bh.com.my