WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

TIADA JOB SEPANJANG PKP, ADIBAH NOOR TERPAKSA GADAI BARANG KEMAS

Umum mengetahui susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang terjejas pendapatan kerana tidak dapat mencari rezeki


Back To Whats Hot

Umum mengetahui susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang terjejas pendapatan kerana tidak dapat mencari rezeki seperti biasa termasuklah penggiat seni apabila segala aktiviti hiburan dihentikan.

Turut bergelut dengan masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19, pelakon dan penyanyi Adibah Noor mendedahkan dia juga terpaksa menjual rumah dan memajak barang kemas miliknya demi menampung kehidupan.

Pendedahkan itu dibuat Adibah dalam video pendek yang dimuat naik di laman Twitter, berikutan menerima banyak mesej daripada orang ramai yang meminta bantuan kewangan.

“Pekerja-pekerja seni macam saya yang berada di depan kamera dan di atas pentas, memang nampak macam mewah, sering kali muat naik video atau gambar  untuk menunjukkan kami masih aktif dalam bidang seni.

“Hakikatnya masa PKP dulu, saya memang tiada pekerjaan langsung sekali gus tiada pendapatan. Jadi selepas PKP  iaitu pada fasa pemulihan, barulah dapat tawaran kerja sedikit demi sedikit untuk berlakon, menyanyi dan sebagainya,” luahnya.

Jelasnya, meskipun selepas PKP dia sudah mula menerima tawaran berlakon dan menyanyi, namun bayaran yang diterimanya tidak lagi sama sebagaimana sebelum bermula pandemik Covid-19, malah jauh lebih rendah.

Menerusi perkongsian itu,  Adibah tidak malu mengakui terpaksa menjual rumah dan memajak barangan kemasnya. Ujarnya, dia juga sama seperti mereka di luar sana yang berdepan kesempitan selepas ketika PKP dan sentiasa mencari jalan untuk menjana pendapatan.

“Saya tak malu untuk memberitahu, banyak benda yang saya dah jual. Saya jual rumah, barang kemas pun ada di pajak gadai.

“Saya tak malu nak bagitahu yang saya juga mengalami kesusahan atau kesukaran dari segi kewangan, tapi kita cuba cari jalan sendiri,” luahnya.

Adibah berkata pengakuan tersebut bukanlah untuk menagih simpati tetapi ingin memaklumkan bahawa kehidupan serta pendapatannya turut terkesan akibat pandemik serta meminta maaf  kerana dia tidak dapat menghulurkan bantuan.

“Saya bukan nak mengadu, ini juga bukan curahan perasaan untuk menagih simpati, cuma saya nak bagitahu hakikatnya saya juga mempunya masalah saya yang tersendiri.

“Minta maaf saya tak dapat membantu orang lain kerana saya kena bantu diri saya sendiri. Apa-pun saya doakan semoga kita semua dapat mencari rezeki. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita,” katanya.

Sumber: ROTIKAYA
oleh Farizan Zainal