WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

PAWAGAM KOMITED JAGA PENONTON

Pencinta filem mula berkunjung ke pawagam selepas operasi panggung wayang dibenarkan disambung semalam dengan pematuhan SOP ketat


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Dianggarkan lebih 1,000 tiket terjual sejak kaunter pawagam di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur dibuka sehingga jam 4 petang semalam, hari pertama operasi panggung wayang pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mendapat sambutan menggalakkan.

Selepas hampir empat bulan ditutup, pembukaan semula pawagam menarik minat 'kaki wayang' yang menanti peluang menikmati keseronokan menonton filem yang dipancarkan daripada skrin gergasi.

Tinjauan HIP di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) di pusat beli-belah Mid Valley, mendapati peminat terutama generasi muda mengambil kesempatan menonton filem kegemaran, biarpun pada hari bekerja.

Penekanan pengurusan pawagam terhadap aspek prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meyakinkan penonton untuk kembali ke pawagam.

Malah, tinjauan mendapati, audiens teruja membiasakan diri menonton filem dalam rutin normal baharu.

Di GSC, filem ditayangkan semalam merangkumi karya baharu termasuk judul yang ditayangkan semula. Antara filem yang mengisi slot tayangan di GSC adalah Digimon Adventure : Last Evolution Kizuna; Low Season dan Kaiji : Final Game.

Antara judul ditayang semula adalah Jumanji : Welcome To The Jungle; Bloodshot, Venom dan Spiderman : Homecoming.

Pengurus Penjenamaan dan Perhubungan Awam GSC, Sharmine Ishak berkata, sambutan 'kaki wayang' terhadap pembukaan semula pawagam cukup menggalakkan.

"Sejak tiket mula dijual secara online biarpun ketika pawagam belum beroperasi, ramai penonton membelinya.

"Ada yang mengambil peluang menonton filem yang ditayangkan semula selepas slot tergendala akibat penularan COVID-19," katanya kepada BH Online.

Sharmine berkata, pemerhatian pihaknya juga mendapati ramai pengunjung mula membiasakan diri dengan rutin normal baharu menonton filem di pawagam.

"Bagi kami, ini bukan masalah besar dan soal keselamatan pengunjung menjadi keutamaan kami," katanya.

Sharmine berkata, operasi pawagam GSC di seluruh negara berpandukan SOP dikeluarkan MKN.

"Kami menggalakkan pekerja memakai pelitup muka dan sarung tangan untuk menjaga kebersihan premis. Ruang menonton dibersih dan disanitasi sebelum dan selepas tayangan sesebuah filem.

"Kita juga menggalakkan penonton memakai pelitup muka ketika menonton," katanya.

Sebagai tarikan, Sharmine berkata, tiket bagi filem yang ditayangkan semula dijual pada harga serendah RM5 hingga akhir bulan ini.

"Pelanggan boleh membeli tiket dan makanan dengan harga tambahan paling murah RM8. Kami juga menggalakkan tiket dibeli secara online di www.gsc.com.my berbanding di kios atau kaunter," katanya.

Sementara itu, TGV Cinemas mengutamakan keselamatan penonton setibanya di premis rangkaian pawagam itu.

Wakilnya, Lee Ling Yean berkata, pelanggan yang mempunyai bacaan suhu lebih 37.5 darjah selsius tidak dibenarkan memasuki pawagam.

"Pengunjung juga perlu mendaftar masuk dengan menggunakan aplikasi MySejahtera. Kita juga tidak benarkan kanak-kanak di bawah 12 tahun dan warga emas melebihi 60 tahun memasuki premis.

"Selain itu, penjarakan sosial diamalkan ketika membeli tiket. Pengunjung juga hanya dibenarkan menggunakan tandas secara bergilir-gilir dengan kerja sanitasi dilakukan tiga kali sehari.

"Pekerja juga mesti memakai pelitup muka sepanjang masa. Pemantauan kebersihan dan tahap kesihatan pekerja dipraktikkan setiap masa," katanya lagi.

Sumber: Berita Harian
oleh Zaidi Mohamad
bhhip@bh.com.my
Foto NSTP/Eizairi Samsudin