WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

MELECUR TERUK, ALI XPDC BERANSUR PULIH

Keadaan vokalis XPDC, Ali, 52, melecur di muka, tangan dan kaki selepas disambar api ketika membakar sampah semakin pulih


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Keadaan vokalis XPDC, Ali, 52, melecur di muka, tangan dan kaki selepas disambar api ketika membakar sampah semakin pulih.

Bagaimanapun, hingga kini, Ali masih terasa pedih pada bahagian kulit yang melecur, namun beransur baik.

"Saya hanya bergantung dengan pil penahan sakit yang diberi doktor dan pengambilan ubatan. Nak pulihkan kulit yang melecur memang mengambil masa. Sehingga kini, masih rasa pedih dan gatal terutamanya di kawasan pelipat.

"Saya perlu berpantang supaya luka melecur cepat sembuh. Setakat ini, semuanya berada dalam keadaan baik, cuma saya tidak boleh berdiri terlalu lama kerana rasa seperti dicengkam akibat pertumbuhan kulit baru," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, gambar Ali melecur teruk menjadi tular selepas seorang kenalan memuat naik dalam Facebook (FB), baru-baru ini.

Menerusi perkongsian kenalannya yang dikenali sebagai Ali Russia, dia turut memohon sumbangan orang ramai meringankan beban Ali yang ditimpa musibah.

Ali berkata, dia tidak berniat menagih simpati, sebaliknya hanya mahu menjadikannya sebagai iktibar buat orang ramai.

Katanya, gambar berkenaan diambil ketika luka belum pulih sepenuhnya. Bagaimanapun, dia mengizinkan gambar dimuat naik supaya dapat memberikan manfaat buat umum.

"Itu adalah gambar saya, tetapi ia ketika kejadian kebakaran pada penghujung Mac lalu. Ketika itu, saya tidak berkongsi kepada sesiapa kerana tidak mahu ia tular seperti hari ini.

"Apabila tular, ramai rakan akan menghubungi membuatkan saya tidak boleh berehat. Sekarang apabila beransur pulih, kawan minta izin muat naik dalam FB sebagai iktibar. Saya izinkan.

"Saya mahu orang ramai berhati-hati ketika membakar sampah atau melakukan perkara yang membabitkan api," katanya.

Bersyukur atas keprihatinan orang ramai, Ali gembira apabila ramai kawan lama menghubunginya bertanyakan khabar.

"Ada kawan yang sudah putus hubung menghubungi saya bertanya khabar. Malah selepas kerajaan membenarkan aktiviti menziarah, ramai yang datang ke rumah menjenguk saya.

"Terima kasih yang menghulurkan sumbangan meringankan beban saya. Dengan sumbangan diberikan, saya boleh membeli ubat-ubatan. Tiadalah bekalan ubatan terputus apabila ada sumbangan," katanya.

Pada 26 Mac lalu, Ali melecur 30 peratus di muka, tangan dan kaki selepas membakar sampah menggunakan petrol di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor.

Ekoran kejadian itu, Ali berkata, dia tidak boleh tidur dengan lena, malah berat badan susut sebanyak 20 kilogram (kg) hampir tiga bulan.

"Jika saya terjaga pada waktu malam sukar mahu tidur semula. Ada kala dapat terlelap sahaja, mungkin disebabkan terlalu keletihan. Selain itu, saya tiada selera makan.

"Dahulu berat badan melebihi 80 kg, tetapi kini 62 kg sahaja," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my
FOTO Facebook Ali Russia