WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

PEMUZIK ALENA MURANG SERU MASYARAKAT BANTU MANGSA KEBAKARAN MELALUI KONSERT DIGITAL

Alena Murang adalah merupakan salah seorang anak Sarawak yang berjaya melakar nama di pentas dunia dengan persembahan muzik sapenya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Bakat yang ada tidak disia-sia, malah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan sesuatu perubahan terutamanya bagi tujuan yang cukup murni.

Itu pegangan yang sentiasa diketengahkan pemuzik berbakat besar, Alena Murang dan rakan band-nya Joshua Maran, Jonathan Wong, Jimmy Chong dan Herman bagi membantu mereka yang memerlukan.

Insiden kebakaran yang berlaku di rumah panjang Belukun di Long Sela’an, Baram, Miri pada 8 Jun lalu lantas menarik perhatian mereka untuk menggerakkan insiatif konsert amal bagi meraih sumbangan buat komuniti yang terlibat dalam musibah itu.

“Konsert ini akan diadakan pada 21 Jun secara dalam talian di laman Facebook saya dan ia akan berlangsung selama satu jam.

“Situasi seperti ini secara peribadi pernah berlaku pada kami dua tahun lalu dan pengalaman kehilangan tempat tinggal amat perih,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Justeru, Alena turut menyeru orang ramai untuk bersama-sama tampil menyokong inisiatif seperti ini bagi mengembalikan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan meskipun kini tanpa rumah yang menjadi tempat berteduh sejak bertahun lamanya. 

“Ia boleh ditonton secara percuma dan kami meminta ihsan anda untuk bersama melakukan sumbangan yang akan disalurkan kepada rumah panjang itu,” ujarnya.

Dia turut menyeru kepada peminat muzik sape untuk sama-sama menyaksikan konsert amal itu di laman Facebook Alena Murang yang akan distrim secara langsung bermula jam 8 malam, Ahad, waktu Malaysia dan satu petang bagi London pada hari yang sama.

Terdahulu, rumah panjang yang terletak di selatan Miri itu terlibat dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 11.05 pagi, sekali gus meranapkan kediaman 60 penghuni yang kini tinggal sehelai sepinggang.

Bagi yang ingin melakukan sumbangan dana, seperti yang dikongsi oleh Alena, ia boleh disalurkan melalui akaun: Alena Murang, Maybank Malaysia: 511-2340-226-50, Paypal kepada alena.murang@gmail.com ATAU akaun ketua rumah panjang, Peter Tingang Lalo, Maybank Malaysia: 161-1811-658-53.

Sumber: AWANI
oleh Nickyson Nyambar
Gambar Ihsan Alena Murang