• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

LAMA HILANG, NANA SHEME CIPTA NAMA KE SEBERANG

Muzik video Ragu-Ragu nyanyian Nana Sheme sudah mencecah 800,000 tontonan di YouTube


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Mahu peminat melihat sisi kematangan, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Hantu Atau Buaya, Nana Sheme memilih genre lebih segar untuk single terbaharu, Ragu-Ragu.

Nana atau nama sebenarnya, Nabilah Hashimi berkata, single Ragu-ragu adalah ciptaan penyanyi dan komposer, Nadya Fatira. Lagu itu digubah komposer Indonesia, Barry Maheswara yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi Indonesia, Rizky Febian dan Mytha Lestari.

Dalam usaha memperkenalkan nama Nana di negara jiran, muzik video Ragu-Ragu kini sudah mencecah lebih 800,000 penonton di YouTube, biarpun baru sebulan dimuat naik dengan menampilkan pelakon Indonesia, Rizky Billar.

Bekas graduan Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, dia mahu peminat melihat transisi perubahan diri daripada usia 18 tahun dengan sekarang sudah berusia 25 tahun.

Katanya, dia memilih elemen muzik yang bercirikan Indonesia kerana menggemari genre muzik sedemikian. Bagaimanapun, Nana tidak menyangka apabila syarikat pengurusan, Xeno Entertainment memenuhi kehendaknya.

"Sebagai penyanyi, kita yang perlu mendidik pendengar. Tak mungkin sampai bila-bila saya mahu menyanyikan lagu genre sama. Masa muda dahulu, jadi lagu seperti Hantu dan Buaya serta Boleh Blah sesuai dengan usia.

"Namun, apabila meningkat dewasa, saya perlukan lagu lebih matang. Namun, itu bukannya bermakna saya tak mahu membawakan lagu lama sewaktu persembahan. Lagu lama boleh menghiburkan penonton dan seronok melihat mereka menyanyi bersama," katanya kepada BH Online.

Nana berkata, dia membuat keputusan memperlahankan rentak kerjaya nyanyian pada 2016 bagi memberikan tumpuan kepada pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Ia bagi memenuhi permintaan arwah ibu yang meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman dalam darah pada 2010.

Gadis kelahiran Kuching, Sarawak yang berjaya menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama itu berkata, dia sebenarnya tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian, hanya membuat keputusan memperlahankan kerjaya seninya.

Katanya, dia masih menerima undangan persembahan, tetapi keutamaannya pada pelajaran, manakala bidang nyanyian sekadar dijadikan hobi mengisi masa lapang.

"Saya sedang menyambung pengajian di peringkat diploma ketika mula menyertai bidang nyanyi pada usia 18 tahun.

Tekanannya tidak begitu terasa berbanding apabila menyambung peringkat ijazah. Namun, saya masih menyanyi, cuma tidak aktif sangat.

"Sebenarnya, saya ada sahaja dalam industri, cuma tidak begitu diperkatakan. Apabila membuat keputusan kembali menyanyi selepas berjaya mendapatkan segulung ijazah, saya terpaksa memulakan kerjaya daripada bawah seperti penyanyi baharu.

"Saya tidak kisah walaupun terpaksa memulakannya seperti penyanyi baharu. Bagi saya, tiada istilah 'comeback', kerana saya bukanlah penyanyi gah, suatu ketika dahulu.

"Bagaimanapun, mujurlah ada laman sosial, ia adalah satu platform terbaik untuk mempromosikan lagu terbaharu berikutan belum berkesempatan turun padang menjalani promosi di stesen radio atau menjayakan persembahan terbuka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Nana berkata, medium media sosial menjadi pilihan ramai, tetapi dirinya akan memastikan setiap entri ditapis terlebih dahulu bagi mengelakkan memuat naik hantaran tidak sepatutnya.

"Bagi saya, media sosial bukan tempat untuk kongsi segala-galanya hingga melanggar batasan. Saya hanya akan menggunakannya untuk perkara yang sepatutnya dan cuba mengelak daripada memuat naik entri yang boleh mengundang kecaman.

"Laman sosial boleh diikuti sesiapa sahaja, jadi saya cuba elak mempengaruhi pengikut pelbagai peringkat usia dengan hantaran tidak sepatutnya," kata anak sulung dari empat beradik itu.

Sumber: Berita Harian
oleh Serimah Mohd Sallehuddin
bhhip@bh.com.my