WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

AIMAN TINO SERIK

Aiman mahu membuat rayuan terhadap kompaun dikenakan selepas didapati melanggar PKPB apabila memancing di kolam ikan, baru-baru ini


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Mendakwa menjadi mangsa 'perangkap' hingga dikompaun RM1,000 selepas memancing di kolam ikan di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, bulan lalu, Aiman Tino mahu lebih berhati-hati apabila keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aiman mengaku serik dan tidak mahu perkara sama berulang.

"Saya tidak pernah berdepan situasi ditahan polis dan disaman. Secara jujurnya, saya serik.

"Sekarang, setiap kali mahu buat apa-apa, saya jadi takut dan fikir sebaik-baiknya. Apatah lagi, kita masih dalam tempoh PKPP. Kejadian ini menjadi iktibar buat diri saya dan keluarga," katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut mengenai kejadian itu, Aiman berkata, dia dan bapanya teruja apabila mendapat tahu kolam pancing terbabit sudah dibuka.

"Pengusaha kolam pancing itu menghebahkan pembukaan premis berkenaan di Facebook.

"Maklumlah, kami kaki pancing, selepas tiga bulan tidak memancing, apabila dapat tahu kolam dibuka, kami teruja," katanya.

Namun, Aiman berkata, ketika memasuki premis berkenaan, dia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial.

"Kami patuh SOP, ambil suhu badan dan menjaga jarak. Ketika kami memancing, ada kira-kira 20 orang di premis itu," katanya.

Bagaimanapun, Aiman mendakwa, pekerja kolam pancing terbabit membenarkan lebih ramai pemancing masuk.

"Kami sudah bayar, tak akan mahu beredar. Sepatutnya, pemancing yang datang kemudian, tidak dibenarkan masuk," katanya.

Dakwa Aiman, ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba, hujan lebat dan pemancing terpaksa berasak-asak di bawah bumbung.

"Jadi, anggota polis nampak kami tidak menjaga jarak. Tetapi kami tidak salahkan polis kerana menjalankan tugas... Perkara sudah berlaku," katanya.

Menganggap dirinya termasuk bapa dan adik teraniaya, Aiman berasakan pemilik kolam memancing itu sepatutnya disaman.

Aiman berkata, dia dan pemancing lain sepakat mengemukakan rayuan supaya kes mereka dapat diteliti semula.

"Kami mahu pemilik kolam terbabit tampil ke depan. Namun, sampai sekarang, kami belum mendapat khabar daripadanya.

"Ada yang cuba menghubunginya, tetapi tiada jawapan," katanya.

Aiman berkata, dia dan pemancing lain menubuhkan kumpulan di aplikasi WhatsApp bagi memudahkan mereka berkomunikasi.

"Dalam perbincangan, kami mahu pemilik kolam itu yang membayar saman, bukannya kami.

"Sekarang kami sedang berusaha membuat rayuan kepada pihak atasan.

"Bukan apa, kasihan sebab dalam kumpulan 70 orang ini, ada yang sekadar jadi 'penonton', kita tidak tahu keadaan kewangan mereka," katanya.

Aiman berkata, dia tidak mengambil endah komen orang ramai yang tidak tahu kejadian sebenar.

"Saya tidak suka baca komen, tetapi selepas berita saya dimuat naik, saya membaca komen itu. Saya dikritik sebab mereka tidak tahu cerita sebenar," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my
NSTP/Nurul Syazana Rose Razman