WHAT'S NEXT

#CNO912

09.00pm - 12.00am

DIBENAR 'SHOOTING', JANGAN BANYAK BUNYI!

Kerajaan bagi kebenaran untuk buat penggambaran semula pun sudah cukup baik dan bagus untuk penggiat seni


Back To Whats Hot

"Kerajaan bagi kebenaran untuk buat penggambaran semula pun sudah cukup baik dan bagus untuk penggiat seni," kata pengarah drama, Opie Zami berhubung keputusan membenarkan semula penggambaran drama dan filem yang dikeluarkan semalam.

Opie berkata, kebanyakan mereka bekerja secara bebas (freelance) dan apabila ada tawaran kerja baru ada sumber pendapatan.

"Kerajaan pun sudah bagi kelonggaran. Walaupun sesukar mana, kita kenalah patuh. Dari duduk rumah tiada kerja dan makan, lagilah teruk. Kena patuh dengan arahan dan jangan banyak bunyi.

"Orang dah bagi kita sepatutnya bersyukur. Lagipun semua orang ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kita kenalah akur," katanya.

Semalam, warga penggiat seni menerima berita gembira apabila Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan memberikan kebenaran untuk penggambaran bermula 10 Jun dengan mengikut SOP.

Opie sepatutnya memulakan penggambaran sebuah drama genre komedi berkata, dia akan mengadakan perbincangan semula dengan pasukan produksi.

"Baru semalam kita dapat tahu tarikh kebenaran penggambaran, jadinya kena bincang dan rancang semula ikut SOP yang ditetapkan.

"Kalau diikutkan memang susah untuk betul-betul ikut SOP seperti yang ditetapkan, namun kita dalam industri kena fikir bagaimana cara nak melakukannya.

"Kalau ikut SOP,  kita kena buat perubahan cerita kerana kru tak boleh ramai. Saya mungkin fikirkan seorang kru buat dua, tiga kerja. Cerita pun kena fikirkan bagaimana nak sesuaikan dengan SOP," katanya.

Ditanya sekiranya terdapat pelakon yang enggan berlakon, Opie berkata itu terpulang kepada mereka.

"Mungkin mereka ada simpanan atau pendapatan lain untuk tampung hidup pada masa ini. Itu tak kisahlah. Kita bagi peluang pada mereka yang memerlukannya," katanya.

Pengarah Zamri Zakaria pula akan memulakan penggambaran drama 26 episod berjudul Tunggu Dulu Cinta untuk RTM pada 10 Jun ini.

"Rasanya tidaklah terlalu susah untuk kita ikut SOP. Cuma ada babak yang akan diolah kerana ikut penjarakan sosial.

"Kru yang terbabit pula antara 15 hingga 18 orang, tapi mereka bukan setiap masa berada di set.

"Jadi, untuk babak mereka tak perlu pelitup muka tapi teknik 'screenplay' akan dibuat dengan susunan agar mereka duduk dalam skala satu hingga dua meter," katanya.

Dalam masa sama, Zamri bersyukur kerana drama lakonan Sarah Hildebrand, Hafreez Adam, Badrul Muhayat dan Izzy Zulkhazreef ini bukanlah genre cinta yang memerlukan pelakon berada dalam jarak dekat.

"Saya juga beruntung kerana heroin bertudung, jadi memang dari awal tiada babak bersentuhan dengan hero.

"Apapun diakui buat permulaan kita akan rasa kekok, tapi ia hanya bersifat sementara dan selepas itu akan mula selesa," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman