WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

RAIKAN GAWAI DALAM NORMA BAHARU

Beliau menegaskan, dengan keadaan penularan wabak COVID-19, masyarakat terpaksa meraikan Gawai dalam keadaan norma baharu


Back To Whats Hot

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meminta rakyat Sarawak khasnya masyarakat Dayak akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika meraikan perayaan Hari Gawai ini.

Beliau menegaskan, dengan keadaan penularan wabak COVID-19, masyarakat terpaksa meraikan Gawai dalam keadaan norma baharu.

Jelasnya, beliau percaya cara baharu dalam meraikan Gawai masih boleh menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa masa depan adalah terikat bersama tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama dalam usaha membawa Sarawak ke arah kemajuan dan kemakmuran yang lebih adil dan saksama. 

“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai ‘Gayu Guru Gerai Nyamai’ kepada semua rakyat di negeri ini khususnya masyarakat Dayak yang terdiri daripada masyarakat Iban, Bidayuh, Orang Ulu yang lainnya yang meraikan perayaan ini.

“Perayaan Gawai Dayak seperti juga perayaan-perayaan lain iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina telahpun menjadi peristiwa meriah kepada semua masyarakat untuk menyedari sejauh mana kita berjaya melaksanakan semua kaum meraikan temasya budaya mereka tanpa menjejaskan kemajuan kaum masing-masing.

“Namun pada kali ini, kita terpaksa menyambut Gawai dalam keadaan yang amat berbeza akibat penularan penyakit COVID-19 ini yang bukan saja menular dalam Sarawak dan Malaysia tetapi ke seluruh dunia,” katanya dalam perutusan khas Hari Gawai Dayak.

Pada masa sama Tun Taib berkata, di Malaysia lebih daripada 7,619 orang telah dijangkiti dan hampir 115 orang telah meninggal dunia dan di Sarawak, seramai 552 orang telah dijangkiti wabak ini.

“Oleh kerana penyakit ini sedang melanda negeri dan negara kita dengan amat cepat merebak sehingga dalam masa yang singkat menular ke seluruh dunia, kerajaan persekutuan dan negeri terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian virus ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat kita.

“Oleh itu, rakyat harus akur dan diminta terus duduk di rumah dan sekiranya perlu keluar dikehendaki mematuhi arahan dan langkah ditetapkan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa mengguna pelitup separuh muka, sarung tangan, pensanitasi tangan dan mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Secara umumnya kita mesti mengelak tempat yang sesak dan kawasan yang sibuk dengan pelbagai aktiviti,” tambahnya.

Selain itu, Tun Taib berkata seperti sedia maklum, masyarakat Dayak yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan mempunyai adat resam masing-masing tentu sekali dapat memainkan peranan yang begitu besar sekali dalam memperkayakan kebudayaan sebagai ciri penting dalam imej negeri dan negara yang tercinta.

“Kita harus berbangga kerana keharmonian dan kedamaian yang dinikmati hari ini adalah hasil sikap toleransi dan semangat saling percaya-mempercayai dalam kalangan rakyat daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama,” katanya.

Beliau memberitahu, keunikan itu adalah kekuatan Sarawak yang menjadi tunjang kepada perpaduan dan kestabilan politik di negeri ini dan perlu dipelihara.

“Suasana muhibah ini dapat dilihat melalui kerjasama rapat antara semua kaum dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

“Justeru, saya berharap perpaduan dan suasana harmoni rakyat sarawak akan terus kekal teguh dengan acuannya tersendiri ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, rakyat harus bangga dengan kebolehan negeri ini mencapai tahap pembangunan dan kemajuan yang amat memberangsangkan hasil daripada kebolehan semua pihak menjaga perpaduan dan hubungan yang begitu baik antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, kepercayaan agama dan latar belakang.

Sumber: Utusan Borneo