WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

JANGAN ALPA SOP KETIKA SAMBUTAN HARI RAYA INI BAGI ELAK GELOMBANG KEDUA COVID-19

Ketua Menteri menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini agar tidak alpa dengan prosedur operasi standard (SOP)


Back To Whats Hot

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini agar tidak alpa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Abang Johari dalam perutusannya sempena Hari Raya Aidilfitri berkata dengan penguatkuasaan yang ketat dan kerjasama erat daripada seluruh rakyat, usaha kerajaan mengekang COVID-19 nampak berhasil setakat ini. 

Bagaimanapun, beliau menyeru kepada semua supaya tidak alpa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini terutama dalam musim perayaan ini bagi mengekang gelombang kedua wabak COVID-19.

"Bulan puasa telah kita lalui tanpa kemeriahan bazar Ramadan, tanpa solat berjemaah dan terawih dan sebagainya di masjid atau surau. 

"Namun, kita berjaya mengharungi semua cabaran ini dan di sebalik semua cabaran ini kita diberi peluang dan ruang untuk sentiasa berada dekat dengan ahli keluarga dalam pelbagai aktiviti kekeluargaan.

"Suasana Hari Raya kali ini juga amat berlainan sekali dengan apa yang telah menjadi amalan kita sebagai umat Islam kerana kita perlu mematuhi SOP dan protokol semasa perayaan dalam tempoh PKPB ini," katanya. 

Menyentuh mengenai ekonomi Sarawak, Abang Johari berkata ekonomi negeri dibuka secara bersyarat mulai 12 Mei dan beliau berterima kasih kepada semua rakyat kerana mematuhi SOP yang ditetapkan. 

Pematuhan kepada SOP katanya, mengajar kita supaya sentiasa bersabar kerana terpaksa berbaris, menjarakkan diri daripada orang lain di sekeliling, bergilir-gilir untuk diperiksa suhu badan, mensanitasi tangan dan sebagainya. 

Justeru beliau berdoa semoga dengan pematuhan kepada SOP ini, kita semua akan bebas daripada jangkitan virus COVID-19. 

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kepada kesulitan yang dihadapi rakyat semenjak PKP dan PKPB, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 untuk meringankan beban rakyat. 

"Saya berharap bantuan-bantuan langsung dan tidak langsung melalui BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS3.0 ini dapat meringankan sedikit kesulitan yang dihadapi semua," katanya. 

Ujar Abang Johari lagi, keseluruhannya sebanyak  RM2.6 bilion diagihkan untuk melaksanakan tiga pakej BKSS ini dengan hampir kesemua rakyat berumur 21 tahun ke atas telah dan akan menikmati bantuan ini. 

Kerajaan juga katanya telah dengan sedaya upaya menyediakan bantuan makanan kepada seluruh rakyat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman ketika PKP berkuat kuasa. 

Selain itu, kerajaan juga telah membekalkan dua juta pelitup muka percuma kepada rakyat dan RM10 juta untuk menyediakan peralatan pelindung diri (PPE) kepada petugas kesihatan. 

Program BKSS menurut Abang Johari merupakan langkah jangka pendek kerajaan untuk membantu rakyat, perniagaan dan industri kecil dan sederhana. 

Sebagai sebuah kerajaan yang juga memikirkan impak jangka panjangt COVID-19 kepada ekonomi negeri ini, program jangka panjang juga telah digubal untuk memastikan ekonomi Sarawak terus mampu berkembang sehingga 2030.

Program pasca COVID-19 Sarawak katanya berpaksikan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar memberi tumpuan kepada sembilan sektor iaitu Pertanian Komersial, Pengeluaran, Perlombongan, Perhutanan, Pelancongan, Infrastruktur Asas, Perkhidmatan, Pusat Data dan Inovasi serta Tenaga Yang Boleh Diperbaharui. 

Sebuah jawatankuasa yang dinamakan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak juga telah ditubuhkan untuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak yang berkepentingan. 

Justeru Abang Johari berharap input-input yang diterima nanti yang akan diperhalusi oleh kerajaan negeri bakal menjadi landasan kukuh untuk memulihara dan memperkasakan ekonomi Sarawak secara jangka panjang. 

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini juga, Abang Johari mengajak seluruh anak Sarawak tanpa kira bangsa, keturunan, agama dan fahaman politik untuk sama-sama berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini. 

Katanya tiada yang lebih indah melainkan kebahagian, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negeri Sarawak untuk dinikmati oleh semua anak Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.

Sumber: Utusan Borneo