WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

BINTANGI FILEM ISLAMIK INDONESIA, NEELOFA MAHU 'ALL OUT'

Neelofa akan terbabit dalam penggambaran filem, telefilem dan program pengacaraan, tahun ini


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Neelofa menyusun strategi untuk kembali menghangatkan dunia lakonan selain mengukuhkan perniagaan hijab yang diusahakan ke Indonesia.

Berkonsep serampang dua mata, Neelofa yang mahu membawa jenama hijab, Naelofar ke Indonesia, bakal membintangi filem berkonsep Islamik terbitan produksi negara terbabit, berganding dengan bintang filem Ayat Ayat Cinta dan Surga Tak Dirindukan.

“Sebagai pengenalan untuk menembusi pasaran Indonesia, filem cinta Islamik itu akan menjadi taruhan dalam mencuba nasib di seberang.

“Untuk tujuan itu, saya sudah mempunyai pengurus iaitu individu sama yang mengendalikan karier Bunga Citra Lestary di sana.

“Mulai sekarang, saya perlu membahagikan masa antara Jakarta dan Kuala Lumpur. Saya perlu kerap ‘terbang’ ke sana untuk menghadiri acara termasuk sesi ramah mesra dengan media di Indonesia,” katanya pada sesi pengumuman wajah baharu Naelofar di sebuah premis acara di sini, malam tadi.

Neelofa yang meraikan hari jadi ke-31 pada 10 Februari lalu, bagaimanapun belum memikirkan kemungkinan berlakon dalam drama panjang atau sinetron yang lazim menjadi pilihan wajah baharu untuk mencipta nama di Indonesia.

“Buat permulaan, saya pertimbangkan filem... Masa hadapan, kita lihat bagaimana.

“Tawaran berlakon filem bermula dalam pertemuan saya dengan pengurus di sana. Kebetulan, produksi filem terbabit mahu mencari pelakon Malaysia.

“Pada 2015, produksi sama pernah menayangkan filem cinta Islamik di Malaysia. Tahun ini, mereka mahu melakukan projek sama. Mengikut perancangan, filem itu akan memulakan penggambaran pada April depan, atau sebelum Ramadan bermula.

“Saya harap rancangan ini dipermudahkan kerana saya juga akan terikat dengan kerja lakonan di Malaysia. Ini termasuk filem, telefilem sempena Aidilfitri dan program pengacaraan sendiri,” katanya.

Sebagai persediaan mengembangkan karier seni di sebarang, Neelofa sudah berjinak-jinak belajar bahasa Indonesia.

“Ada tutor dari Indonesia yang membantu saya menguasai bahasa itu dengan betul. Saya percaya untuk lebih senang membina nama di sana, penguasaan bahasa penting,” katanya.

Mengenai perniagaan tudung yang sudah lima tahun beroperasi, Neelofa mahu terus membawa jenama Naelofar ke mata dunia dengan logo baharu yang melambangkan kekuatan.

Sumber: Berita Harian