WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

CARI VOKALIS BAHARU, SINGKIR AYIE?

Hubungan anggota kumpulan Floor 88 dengan vokalisnya, Ayie Elham tidak pernah bermasalah


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Pemain keyboard kumpulan Floor 88, Eric Puzi menafikan dakwaan tindakan mencari vokalis baharu sebagai usaha menyingkirkan Ayie Elham.

Kata Eric, persepsi buruk bukan sahaja memberi kesan terhadap reputasi kumpulan malah membuatkan mereka mengalami kerugian apabila banyak undangan membuat persembahan dibatalkan.

"Tujuan mencari vokalis baharu kerana mahu menggantikan tempat Ayie yang kurang sihat, namun ia hanyalah bersifat sementara. Apabila Ayie sembuh sepenuhnya, dia akan kembali membuat persembahan bersama kami.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku pula sebaliknya apabila kebanyakan penganjur menyangkakan kami menghadapi masalah hingga mengambil keputusan membatalkan undangan persembahan yang dipersetujui.

“Saya ingin menegaskan Ayie masih lagi vokalis Floor 88. Kami harap takkan berlaku kekeliruan lagi selepas ini," katanya kepada BH Online.

Berikutan salah faham yang berlaku, Eric berkata mereka tidak menampilkan penyanyi gantian dalam mana-mana persembahan supaya tidak menimbulkan kekeruhan.

“Kami sudah menemui penyanyi gantian yang dicari, tetapi buat masa ini, kami menjadikannya sebagai protege sahaja.

"Kalau mana-mana penganjur mengizinkan kami menampilkan penyanyi gantian, barulah dia muncul" ujarnya.

Penyanyi kumpulan yang popular dengan lagu Hutang itu kini dilaporkan stabil dan sedang berehat. Ayie rebah ketika mengadakan persembahan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lalu. Sehubungan itu, persembahan band berkenaan terpaksa dihentikan serta-merta.

Sumber: Berita Harian