WHAT'S NEXT

CATS DRIVETIME

05.00pm - 09.00pm

TAK LAKU, ANDING PULANG KE SARAWAK?

Pelakon, Anding Indrawani masih aktif berlakon dan mengacara biarpun menetap di Kuching


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Biarpun dilihat tenggelam timbul, pelakon dan penyanyi, Anding Indrawani, 37, menafikan dirinya sudah tidak laku, sebaliknya masih aktif berlakon dan mengacara.

Anding atau nama sebenar, Anding Indrawani Zaini berkata, dirinya kini menetap di Kuching, Sarawak bersama ibunya, Juncy Abdullah, 62.

“Saya pulang ke Kuching, Sarawak sejak setahun lalu. Sudah agak lama saya menyimpan hasrat pulang ke kampung halaman untuk menjaga ibu.

“Ibu tinggal sendirian selepas pemergian arwah bapa. Saya rasa sudah tiba masa untuk saya mengurangkan beban ibu dengan membayar segala keperluan dan bil-bila di rumah.

“Saya juga kasihan melihat ibu keseorangan, jadi saya hanya menunggu peluang pulang ke kampung halaman,” katanya kepada BH Online.

Anding berkata, umpama bulan jatuh ke riba apabila ditawarkan dengan RTM Sarawak.

“Saya terus bersetuju. Saya tak rasa jika duduk di Kuching menjadi halangan untuk saya aktif. Saya masih berulang alik ke Kuala Lumpur jika menerima tawaran lakonan dan pengacaraan.

“Pulang ke kampung halaman tidak bermakna saya akan meninggalkan dunia hiburan. Saya masih boleh berbakti pada industri seni, tidak kira di mana pun saya berada,” katanya.

Bintang kelahiran program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim kedua itu ditemui di pementasan teater Semarak Pertiwiku di Istana Budaya, baru-baru ini.

Berikutan komitmennya bersama teater yang dibawakan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Anding berulang alik dari Kuching dan Kuala Lumpur setiap minggu.

“Penat, usah cerita kerana merantau menuntut tenaga. Tetapi, saya sudah biasa berulang alik ketika arwah bapa sakit lagi.

“Ketika itu, saya menjayakan pementasan Mud. Saya mendapat tahu arwah bapa menghembuskan nafas terakhir sebelum menjayakan pementasan.

“Bayangkanlah perasaan saya ketika itu. Saya akui salah satu sebab mahu tinggal bersama ibu kerana tidak mahu berdepan dengan episod kesedihan yang sama,” katanya.

Bapa Anding, Zaini Oze yang juga Tokoh Sasterawan Sarawak meninggal dunia pada 2016 selepas 10 tahun menderita penyakit Parkinson.

Bekas graduan Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia bersyukur apabila masih dilayangkan tawaran lakonan.

“Saya sudah menjayakan tiga drama dan filem serta teater Semarak Pertiwiku ketika berada di Kuching.

“Kuching adalah salah satu hab seni, tak semestinya Kuala Lumpur yang bertindak sebagai pusat budaya,” katanya.

Anding berkata, dia selesa menetap di Kuching dan bekerjasama dengan RTM Sarawak.

“Kini, saya terikat dengan kontrak bersama RTM Sarawak selama setahun. Komitmen kerja saya pada setiap Selasa kerana mengendalikan program bual bicara, Kopa Kopi secara langsung sebagai hos dan penulis skrip,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anding tidak menolak untuk merakamkan single baharu selepas hampir 14 tahun tidak memasuki studio rakaman. Lagu terakhir, Gadis Dari Jakarta pada 2006.

“Setakat ini, saya tiada perancangan untuk keluarkan single, tetapi keinginan tetap ada. Tidak mungkin saya tidak mahu, usia pembabitan dalam dunia seni melebihi 16 tahun.

“Saya mahu merakamkan lagu budaya seperti lagu yang mengetengahkan kecantikan budaya Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian