WHAT'S NEXT

CATS 30

10.00am - 01.00pm

HAFIZ BERENTAP DENGAN ERNIE, AINA

Hafiz Suip tercabar dengan kemantapan suara Ernie Zakri dan Aina Abdul yang disifatkan saingan terdekat bagi merebut kategori Vokal Terbaik


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Hafiz Suip tercabar dengan kemantapan suara Ernie Zakri dan Aina Abdul yang disifatkan saingan terdekat bagi merebut kategori Vokal Terbaik menerusi Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) pada 9 Februari ini.

Tiga tahun tidak bertanding di pentas AJL, penyanyi lagu Kisah Cinta Kita itu berkata, perasaannya berbeza memandangkan momentumnya terputus selepas kali terakhir beraksi dengan Misha Omar menerusi lagu Terimaku Seadanya.

“Saya gementar selepas tiga tahun tidak beraksi di pentas AJL. Pesaing hebat-hebat bukan sahaja di kalangan penyanyi baharu, tetapi juga berpengalaman.

“Saya lihat Ernie dan Aina memiliki vokal sangat istimewa. Saya tidak malu mengakui mengharapkan kemenangan menerusi kategori Vokal Terbaik.

“Bagi saya, setiap orang perlu ada sasaran, tetapi menang atau kalah adalah adat pertandingan,” katanya kepada BH Online.

Pernah diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik AJL sebanyak tiga kali, Hafiz berkata, dia tidak terlalu tertekan, biarpun ada sedikit perasaan gementar.

“Bagi mempersiapkan diri, saya akan mengikuti kelas vokal untuk memantapkan suara. Selain itu, saya akan menitik beratkan soal kesihatan memandangkan AJL34 hanya tinggal beberapa minggu saja,” katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya seni, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu berkata, dia akan merakamkan lagu baharu ciptaan Ikhwan Fatana dan Ayden Ali, tidak lama lagi.

“Lagu sudah siap tetapi saya belum berkesempatan untuk mendengarnya. Saya agak selektif kerana mementingkan kehendak pendengar.

“Saya cerewet kerana bimbang peminat tidak boleh menerimanya. Sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu berentak rancak dan pop tetapi peminat kurang menggemari, akhirnya lagu berkenaan tidak menjadi.

“Saya tidak berani melakukan eksperimen lagi. Saya rasa genre balada paling sesuai dengan vokal saya, lagi pula peminat suka pada lagu ‘tangkap leleh’,” katanya.

Hafiz berkata, dia terpaksa menghentikan aktiviti memancing yang diminati memandangkan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah sedang hamil anak kedua.

“Isteri sedang hamil tujuh bulan, jadi aktiviti memancing terpaksa dilupakan seketika. Bagaimanapun, saya tetap kembali dengan hobi itu selepas isteri melahirkan cahaya mata kedua, April depan,” katanya.

Sumber: Berita Harian