WHAT'S NEXT

CATS 30

10.00am - 01.00pm

AIN BERSEDIA TERIMA KECAMAN

Pelakon dan pengacara, Ain Edruce, sudah dapat menjangka percubaan sulungnya di arena seni suara pasti berdepan kecaman


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Ain Edruce, sudah dapat menjangka percubaan sulungnya di arena seni suara pasti berdepan kecaman, selain pujian.

Bintang Kekasih Paksa Rela itu berkata, dia merakamkan suara sekadar untuk mencuba, selain memanfaatkan ilmu muzik dipelajari ketika menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, lagu berjudul Overthink hasil kolaborasi bersama Akwa Arifin itu pada awalnya hanya untuk projek YouTube.

“Namun, saya tidak sangka apabila ada yang menyukainya. Begitupun, biasalah dalam setiap perkara kita lakukan, ada yang suka dan ada juga sebaliknya.

“Saya pula mencuba bidang seni suara kerana pernah belajar muzik, termasuk komposisi. Kerja saya ketika itu adalah menulis dan mencipta lagu. Jadi, bila lagi kita nak guna dan manfaatkan ilmu dipelajari selama ini,” katanya yang turut menyanyi rap dalam lagu terbabit.

Ditanya kenapa dia memilih untuk bekerjasama dengan Akwa, Ain percaya, penyanyi dan komposer itu memiliki bakat besar dalam seni.

“Saya sudah lama memerhatikan bakatnya menerusi YouTube. Dia sendiri banyak melakukan eksperimen dalam muzik. Caranya agak berbeza dan kelihatan seperti artis antarabangsa. Dia memiliki bakat yang besar.

“Insya-Allah, saya berharap kolaborasi ini akan dapat membuka pintu rezeki untuknya,” kata Ain.

Overthink cuba mengangkat isu kerisauan wanita terhadap pasangan mereka yang sukar untuk memaklumkan aktiviti semasa masing-masing, hingga menimbulkan tekanan. Ia juga menyebabkan mereka berfikiran bukan-bukan.

Lagu itu dirakamkan pada Oktober tahun lalu, manakala video muziknya disiapkan sebulan selepas itu.

Sumber: Berita Harian