WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

LAGU KRU, WAWASAN 2020 VIRAL SELEPAS 28 TAHUN

KRU tidak menyangka single Wawasan 2020 yang dimuatkan dalam album sulung, viral selepas 28 tahun dilancarkan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim tidak menyangka lagu Wawasan 2020 yang dimuatkan dalam album sulung berjudul Canggih, viral di media sosial selepas 28 tahun dilancarkan.

Beberapa hari sebelum 1 Januari lalu, video muzik single Wawasan 2020 yang dipersembahkan Norman, Yusry dan Edry, mendapat perhatian ramai peminat di YouTube.

Aksi tiga beradik itu termasuk penggunaan lirik ‘bersatu’ dalam lagu berkenaan, pantas menarik perhatian netizen hingga ada yang menganggap KRU mampu meramal masa hadapan.

Menyedari perkara itu, Norman bagaimanapun menganggap apa yang dipersembahkan termasuk lirik lagu berkenaan adalah kebetulan.

“Semuanya adalah kebetulan sahaja... Kami mencipta lagu berkenaan atas dasar suka-suka. Ketika itu, Malaysia sedang menuju negara maju. Tiada elemen politik ketika single berkenaan dihasilkan,” katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut mengenai single itu, Norman berkata, lagu berkenaan pernah digam RTM.

“Lagu itu digam RTM kerana kami menggunakan bahasa Inggeris untuk angka 2020. Bagaimanapun, selepas menukarkannya kepada Bahasa Melayu, barulah lagu itu disiarkan secara meluas,” katanya.

Norman berkata, populariti lagu Wawasan 2020 mendorong KRU menjalin usaha sama dengan RTM menerbitkan klip video berkenaan.

“Bagaimanapun, kami tidak menyangka lagu itu relevan sehingga hari ini,” katanya.

Norman berkata, pihaknya mendapat permintaan peminat yang mahu KRU merakamkan semula Wawasan 2020 sempena tahun baharu.

“Edry ada mencadangkan dirakam versi baharu. Peminat juga menyuarakannya. Tetapi saya tidak bersetuju bagi mengelak timbulnya pertikaian dalam kalangan netizen.

“Langkah terbaik adalah dengan memuat naik kembali klip video berkenaan. Namun, belum sempat kami berbuat demikian, peminat terlebih dulu melakukannya sehingga lagu viral” katanya.

Sumber: Berita Harian