WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

FIKIR BUKAN-BUKAN SAMPAI JADI 'STRESS' - AIN EDRUCE

Ain gembira percubaannya menjadi penyanyi melalui single Overthink mula menarik perhatian peminat


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Tabiat terlalu memikirkan perkara bukan-bukan yang diceritakan Ain Edruce dalam single berjudul Overthink menarik perhatian ramai gadis sejak dilancarkan di YouTube.

Teruja berkongsi sambutan peminat terhadap percubaannya menjadi penyanyi, Ain tidak menyangka ramai pendengar terutama wanita berhadapan masalah sama setiap kali teringatkan pasangan.

“Saya terima maklum balas single Overthink cukup dekat dengan hati wanita. Perkara ini benar-benar terjadi, bukan saya sahaja yang mengalaminya apabila berfikir berlebihan mengenai pasangan.

“Misalnya, ketika saya bercinta dengan suami, dia susah hendak beritahu di mana dia berada atau sedang buat apa sehinggakan saya terfikir bukan-bukan.

“Rupa-rupanya, situasi ini iaitu apabila suami atau kekasih tidak maklumkan perkembangan atau perkara yang sedang dilakukan, dialami ramai wanita,” katanya kepada BH Online.

Dirakamkan Oktober tahun lalu, single Overthink yang menampilkan Ain sebagai rapper, menyaksikan pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu berganding dengan personaliti YouTube, Akwa Ariffin.

Lagu ciptaan Akwa itu menceritakan mengenai kerisauan wanita terhadap pasangan mereka yang sukar untuk memaklumkan aktiviti dan perkembangan semasa mereka.

Ain berkata, sebenarnya wanita bukanlah mahu mengongkong pasangan hingga setiap perkembangan perlu diketahui.

“Wanita cuma berharap pasangan memaklumkan apa yang sedang dibuat apabila berjauhan. Mudah sahaja, layangkan WhatsApp dan beritahu keadaan.

“Bukanlah teman wanita hendak menyibuk, kita cuba mahu teman lelaki atau suami berada dalam keadaan baik dan tahu apa yang sedang dibuat.

“Masalahnya, apabila pasangan ambil mudah, mulalah wanita fikir bukan-bukan sampai jadi tertekan,” katanya yang merakamkan single Overthink secara suka-suka.

Dalam perkembangan terbaru, Ain baru pulang dari berbulan madu di Dubai selepas bernikah dengan jejaka pilihan hati, Amirul Hafiz pada 13 Disember lalu.

Sumber: Berita Harian