WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

HENRY GOLDING DALAM SENARAI 'TIME 100 NEXT'

Golding berkongsi berita gembira disenaraikan majalah antarabangsa, Time dalam kelompok individu di bawah kategori ‘Time 100 Next’ di Instagram


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Aktor kelahiran Malaysia, Henry Golding terus melakar kejayaan apabila disenaraikan majalah antarabangsa, Time dalam kelompok ‘Time 100 Next’ iaitu individu berpotensi besar membawa perubahan dalam bidang diceburi.

Golding, 32, tersenarai bersama bintang nama besar lain dalam bidang hiburan seperti penyanyi, Camilla Cabello; Billie Eilish; artis rap, Lil Nas X dan Megan Thee Stallion.

Turut tersenarai penyanyi dan penulis lirik, Maggie Rogers; pelawak Awkwafina; bintang Latin, Bad Bunny and pelakon, Noah Continuo, Ezra Miller, Beanie Feldstein, Mj Rodriguez dan Keke Palmer.

Lebih membanggakan, bintang berasal dari Ipoh, Perak, yang lebih dulu mencipta nama di Hollywood, Michelle Yeoh memberi ulasan terhadap kejayaan Golding itu.

Yeoh menulis, kali pertama kali bertemu Golding, dia sangat teruja kerana pengarah, Jon M Chu, berjaya mendapatkan aktor yang sesuai memegang watak sebagai anak dalam filem Crazy Rich Asians.

“Dia berjaya membawa wataknya dengan baik biarpun kali pertama beraksi dalam filem berskala besar. Sejak detik itu, saya sudah menjangka dia boleh pergi jauh.

“Isu etnik dan latar belakang bukan penghalang untuk kita berjaya. Kita semua adalah sama tidak mengira bangsa, kaum dan budaya,” katanya.

Yeoh berbangga kerana Henry berjaya mewakili rakyat Asia dalam bidang perfileman di Hollywood.

“Tetapi satu hari nanti, orang tidak akan melihat dari mana anda datang. Sebaliknya, bakat akan mengatasi semua itu.

“Ketika menjayakan filem Crazy Rich Asians, dua tahun lalu, kami tidak pasti sama ada filem itu akan diterima atau sebaliknya. Tapi siapa sangka kami bekerjasama lagi dalam filem terbaru, Last Christmas dan sekali lagi Golding diberi peranan utama,” katanya.

Tambah Yeoh, lebih membanggakan, watak dibawa mereka dalam filem berkenaan bukanlah dicipta untuk orang Asia secara spesifik.

“Jadi, saya amat yakin, suatu hari nanti, asal usul anda tidak akan dipandang. Saya sangat bertuah mengenali Golding yang tidak pernah lupa asal-usulnya,” katanya.

Selain hiburan, bidang lain yang disenaraikan majalah Time adalah perniagaan, sukan, politik, sains dan kesihatan.

Sumber: Berita Harian