WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

'GAMBAR BERSAMA WANITA BERTUDUNG MANA DIMAKSUDKAN?'

MK membiarkan persoalan mengenai statusnya terus menjadi tanda tanya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan hip-hop yang sedang mengukuhkan nama, K-Clique iaitu MK terus berteka-teki mengenai statusnya yang dikatakan sudah mendirikan rumah tangga.

Tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan itu, MK atau nama lengkapnya Muhammad Hairi Amin, 23, sebaliknya menegaskan, dia bersikap terbuka dan menerima ketentuan takdir dalam hal berkaitan jodoh.

“Saya masih muda, baru 23 tahun. Tetapi, kalau rezeki untuk menjaga seseorang dan memulakan keluarga ada, insya-Allah tiada halangan. Saya percaya, perkahwinan membuka pintu rezeki lebih luas lagi.

“Muzik hip-hop mengajar kami berpijak di bumi nyata dan menjadi diri sendiri. Kalau ada di antara kami berkahwin, kami tidak akan merahsiakannya,” katanya.

Bukan sahaja gosip perkahwinan, malah foto dan video MK bersama seorang gadis bertudung turut tersebar di alam maya.

Ditanya mengenai identiti wanita yang sentiasa bersamanya, penyanyi rap itu menyatakan, dia tidak pasti mengenai gambar atau video yang dimaksudkan.

“Ahli kumpulan saya sering menasihatkan supaya tidak melayan apa sahaja perkara membabitkan perkara yang tular di media sosial. Saya tidak tahu gambar atau video mana yang dimaksudkan.

“Saya ada ramai wanita dalam hidup. Selain ibu, saya ada enam kakak. Mungkin gambar yang dikatakan itu adalah bersama seorang daripada kakak saya,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Hausboom Music 2019.

MK sebelum ini, pernah terpalit dalam kontroversi apabila rakaman video dia dicium peminat wanita ketika membuat persembahan di Singapura tular, baru-baru ini. Isu bagaimanapun, selesai apabila peminat terbabit memohon maaf.

Mengulas pembabitan dalam konsert itu, seorang lagi anggota K-Clique, Tuju berkata, mereka teruja diberi peluang berkongsi pentas dengan nama seperti Ella dan Hujan.

“Ini kali pertama kami berkongsi pentas dengan mereka. Mengenai konsep persembahan, perkara itu masih lagi difikirkan. Kami menjanjikan persembahan muzik hip-hop yang terbaik buat semua,” katanya.

Selain MK dan Tuju, K-Clique turut dibarisi Noki, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.

Konsert yang menyasarkan 7,000 penonton itu turut menampilkan kumpulan Pop Shuvit, Bunkface, Gerhana Ska Cinta dan Budak Nakal. Ia bakal berlangsung di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) pada 10 November ini, bermula jam 4 petang.

Sumber: Berita Harian