WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

TEMAN DAKWA ZYNAKAL BERKELAKUAN PELIK SEJAK DUA MINGGU LALU

Penyanyi dan komposer, Zynakal, 21, yang didakwa menyerang dan mencekik seorang pekerja stesen minyak


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Zynakal, 21, yang didakwa menyerang dan mencekik seorang pekerja stesen minyak, baru-baru ini, dikatakan berkelakuan pelik sejak dua minggu lalu.

Rakan baiknya, Danish Jess, mendakwa artis terbabit berkelakuan seperti orang lupa ingatan dan tidak menyedari tindak-tanduknya boleh menimbulkan kemarahan.

“Dia kelihatan seperti sedar, tetapi ketidakstabilan mental menyebabkannya tidak menyedari apa yang dilakukan dan luahkan.

“Kami menghantarnya ke sebuah hospital swasta bagi menjalani rawatan, selepas keluar lokap, kelmarin. Kami mahu mengenal pasti sama ada dia berdepan gangguan mental atau terkena buatan orang.

“Saya perasan Zynakal berkelakuan pelik, sejak dua minggu lalu. Dia mula bercakap merapu, tidak pulang ke rumah, tidak tidur selama empat hari dan bergaduh dengan semua orang. Itu bukan dirinya yang sebenar,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi artis terbabit.

Bercakap kepada BH Online dia juga mendakwa, ujian saringan air kencing turut mendapati penyanyi terbabit negatif dadah.

Jumaat lalu, Zynakal atau Muhammad Raziq Rosli didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas menyerang dan mencekik leher seorang pekerja stesen minyak, selain menghalang polis menjalankan tugas pada 28 Ogos lalu.

Sebelum itu, penyanyi lagu Terbang berkenaan melakukan pelbagai serangan terhadap beberapa individu, termasuk rakan artis, stesen radio dan syarikat rakaman, berhubung projek lagu terbaru di laman sosialnya.

Danish berkata, orang luar yang tidak mengenali pemuda itu pasti marah jika mendengar percakapannya yang merepek.

“Bagaimanapun, saya dan rakan baik sedih melihat keadaannya. Zynakal budak baik, menghormati orang dan tutur bahasanya sentiasa menyenangkan.

“Selepas keluar lokap, perangai peliknya datang semula. Saya sempat menunaikan solat Jumaat bersamanya. Zynakal kelihatan sihat, cuma apabila ditanya, dia cakap seperti pergi bercuti selama dua hari.

“Sedangkan, dia ditahan reman dalam lokap, selama dua hari. Saya sedih melihat keadaannya,” katanya.

Sumber: Berita Harian